KUALA LUMPUR – Kejayaan Malaysia meraih satu pingat emas, dua perak dan dua gangsa dalam acara e-sukan pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 perlu dijadikan pemangkin untuk memperkukuh pembangunan atlet menjelang Sukan SEA 2027.
Pencapaian itu membuktikan potensi besar generasi baharu e-sukan negara, dengan hampir 99 peratus kontinjen Malaysia pada temasya berkenaan terdiri daripada muka baharu.
Malaysia meraih emas menerusi Gran Turismo 7 (GT7), manakala pingat perak disumbangkan oleh eFootball dan Honor of Kings. Dua pingat gangsa pula diraih menerusi Identity V dan Mobile Legends: Bang Bang (MLBB).
Ketua Penerangan Persekutuan E-Sukan Malaysia (MESF), Muhammad Issya Md. Salleh berkata, pembangunan e-sukan negara perlu dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan kemunculan bakat baharu tidak bergantung kepada satu generasi atau pemain tertentu sahaja.
Menurutnya, sistem pembangunan yang tersusun penting untuk mengenal pasti bakat, menyediakan latihan berkualiti dan memberikan peluang kepada atlet mencapai tahap persaingan tertinggi.
Beliau turut mencadangkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Negara (MSN) mempertimbangkan peluasan Program Podium kepada judul e-sukan lain yang berpotensi menyumbang pingat berdasarkan merit, pencapaian dan prestasi atlet.
Katanya, kejayaan GT7, eFootball dan Identity V yang berada di bawah Program Podium Sepenuh Masa menyumbang pingat kepada negara menunjukkan kepentingan sokongan pembangunan atlet secara lebih terancang.
Pada masa sama, pembangunan akar umbi dan atlet pelapis, pendedahan ke pertandingan antarabangsa serta aspek sains sukan, psikologi, nutrisi, analisis prestasi dan kebajikan atlet perlu terus diperkukuh.
Mengulas persediaan menghadapi Sukan SEA 2027 yang bakal berlangsung di Malaysia, Muhammad Issya berkata, tempoh selepas Sukan Asia perlu dimanfaatkan untuk menilai prestasi, memperbaiki kelemahan dan meningkatkan kesiapsiagaan skuad negara.
Beliau menegaskan latihan, penyertaan pertandingan dan pembangunan atlet perlu dilaksanakan secara berterusan, bukannya hanya dipergiatkan apabila temasya semakin hampir.
Kejayaan di Aichi-Nagoya diharap menjadi asas kepada pembinaan ekosistem e-sukan yang lebih kukuh, sekali gus meningkatkan peluang Malaysia mencapai keputusan lebih membanggakan apabila beraksi di laman sendiri pada Sukan SEA 2027.
