NAFSU LELAKI MENINGKAT BILA USIA TUA? PAKAR PERJELAS FAKTANYA

KUALA LUMPUR – Dakwaan bahawa lelaki menjadi semakin bernafsu apabila meningkat usia tidak boleh dianggap sebagai fakta mutlak kerana perubahan tingkah laku seksual dalam kalangan warga emas dipengaruhi pelbagai faktor fizikal, psikologi dan neurologi, kata pakar.

Pakar Psikologi Klinikal di Hospital Gleneagles Kuala Lumpur, Putri Intan Dianah Megat Burhainuddin berkata, peningkatan usia lazimnya menyebabkan paras hormon testosteron menurun secara beransur-ansur, sekali gus mengurangkan keinginan seksual, tenaga serta fungsi seksual seseorang.

Menurut beliau, tanggapan bahawa lelaki semakin tua semakin kuat nafsu sebenarnya tidak tepat kerana tingkah laku seksual turut dipengaruhi oleh tahap kesihatan, emosi, hubungan dengan pasangan, penyakit kronik, pengambilan ubat serta fungsi otak.

Beliau menjelaskan, dalam sesetengah keadaan, perlakuan seksual yang dilihat semakin agresif bukan berpunca daripada peningkatan libido, sebaliknya akibat kawalan diri yang semakin lemah atau gangguan pada bahagian otak yang mengawal impuls dan pertimbangan.

Katanya, faktor seperti persaraan, kehilangan pasangan, kesunyian dan perubahan identiti diri juga boleh memberi kesan kepada emosi warga emas sehingga mereka lebih mencari keintiman, perhatian dan kasih sayang berbanding hubungan seksual semata-mata.

Tambah beliau, penyakit seperti demensia, strok atau kecederaan otak boleh menyebabkan seseorang mengeluarkan kata-kata lucah, melakukan sentuhan yang tidak sesuai atau bertindak melampaui batas akibat gangguan fungsi otak.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa perubahan tingkah laku akibat penyakit tidak boleh dijadikan alasan untuk menghalalkan perlakuan yang melanggar undang-undang atau mencederakan orang lain.

Menurutnya, keinginan seksual dalam kalangan warga emas adalah sesuatu yang normal selagi berlaku secara sihat, selamat dan berasaskan persetujuan antara individu dewasa yang saling menghormati.

Sebaliknya, sebarang perlakuan yang melibatkan paksaan, manipulasi, eksploitasi atau mangsa yang tidak mampu memberikan persetujuan seperti kanak-kanak merupakan satu jenayah seksual yang tidak boleh dikaitkan semata-mata dengan faktor usia atau nafsu.

Putri Intan Dianah berkata, jenayah seksual lebih berkait rapat dengan penyalahgunaan kuasa, manipulasi, kegagalan menghormati sempadan orang lain serta kurang empati terhadap mangsa.

Beliau turut menegaskan bahawa setiap kes perlu dinilai secara individu melalui pemeriksaan menyeluruh melibatkan aspek fizikal, emosi, pemikiran dan kesihatan mental oleh pakar psikologi klinikal, psikiatri, neurologi serta forensik bagi mengenal pasti punca sebenar sesuatu tingkah laku.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *