SHAH ALAM: Usaha menghargai kecemerlangan akademik dalam kalangan pelajar diteruskan menerusi penganjuran Majlis Apresiasi SPM 2025 bagi Parlimen Shah Alam dan DUN Batu Tiga yang berlangsung di Sungai Renggam Convention Centre (SRCC), hari ini.
Program yang menghimpunkan pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) itu dianjurkan sebagai tanda penghargaan kepada anak-anak muda yang berjaya membuktikan kecemerlangan mereka dalam bidang pendidikan sekali gus menjadi inspirasi kepada generasi akan datang.
Ahli Parlimen Shah Alam, YB Tuan Haji Azli Yusof berkata, kejayaan akademik bukan sahaja menjadi kebanggaan keluarga, malah memainkan peranan penting dalam melahirkan modal insan berkualiti untuk pembangunan negara pada masa depan.
Menurut beliau, pendidikan kekal sebagai asas utama dalam membentuk masyarakat yang berilmu, berdaya saing dan mampu menghadapi cabaran dunia moden yang semakin mencabar.
“Anak-anak yang diraikan hari ini adalah aset masa depan negara. Kejayaan mereka membuktikan bahawa usaha, disiplin dan sokongan keluarga serta guru mampu melahirkan generasi hebat,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.
Sementara itu, Ahli Dewan Negeri Batu Tiga, YB Danial Al-Rashid berkata, program apresiasi seperti itu penting bagi menyuntik semangat pelajar untuk terus melakar kejayaan dalam pengajian di peringkat lebih tinggi.
Beliau berkata, pengiktirafan yang diberikan mampu meningkatkan motivasi pelajar selain menjadi dorongan kepada rakan-rakan lain untuk menjadikan pendidikan sebagai jalan utama mengubah masa depan kehidupan.
Tambah beliau, kerajaan negeri dan pelbagai pihak terus memberi perhatian terhadap pembangunan pendidikan termasuk menyediakan bantuan, program motivasi serta sokongan kebajikan kepada pelajar yang memerlukan.
Majlis berkenaan turut diserikan dengan penyampaian sijil penghargaan dan cenderamata kepada pelajar cemerlang selain sesi perkongsian inspirasi mengenai kepentingan pendidikan dalam membina masa depan yang lebih baik.
Penganjuran program itu dilihat selari dengan aspirasi Malaysia MADANI yang memberi penekanan terhadap pembangunan insan menerusi pendidikan berkualiti, pembinaan nilai murni serta peluang yang lebih saksama kepada generasi muda.
