NEW YORK – Kematian seorang wanita berusia 27 tahun kira-kira sejam selepas menerima infusi intravena (IV) NAD+ di sebuah pusat kesihatan di Bronx pada Julai lalu kini diklasifikasikan sebagai kes bunuh oleh pemeriksa perubatan New York.

Mangsa, Elizabeth Baron, disahkan meninggal dunia akibat embolisme udara pada jantung, iaitu keadaan apabila udara memasuki saluran intravena sebelum bergerak ke jantung dan mengganggu aliran darah.

Baron menerima infusi nicotinamide adenine dinucleotide (NAD+) di Bereshit Lifestyle Center pada 19 Julai sebelum tidak sedarkan diri dan dikejarkan ke hospital, namun disahkan meninggal dunia kira-kira sejam kemudian.

Infusi itu diberikan oleh Luis Rojas Cabrera, 55, yang menurut pendakwa raya tidak mempunyai lesen untuk menjalankan amalan perubatan di New York. Beliau sebelum ini didakwa berkaitan tindakan membahayakan keselamatan secara melulu dan menjalankan profesion tanpa kebenaran, manakala pendakwa raya kemudian turut mengenakan pertuduhan manslaughter tahap kedua. 

Klasifikasi kematian sebagai homicide tidak semestinya bermaksud kematian itu dilakukan dengan niat membunuh. Peguam Cabrera, Donald Vogelman, berkata keputusan berkenaan juga boleh merujuk kepada kematian akibat kemalangan dan menegaskan anak guamnya akan dibicarakan di mahkamah. 

NAD+ ialah molekul yang sememangnya terdapat dalam sel manusia dan memainkan peranan dalam penghasilan tenaga serta beberapa proses biologi. Bahan itu bagaimanapun semakin popular dalam industri kesihatan dan kecantikan sebagai rawatan yang didakwa mempunyai manfaat antipenuaan, walaupun bukti mengenai keberkesanan dan keselamatannya pada manusia masih terhad. 

Kes tersebut turut mencetuskan perhatian terhadap risiko rawatan IV yang dilakukan di pusat kesihatan atau kecantikan tanpa pengawasan pengamal perubatan berlesen, khususnya apabila rawatan berkenaan dipasarkan atas dakwaan meningkatkan tenaga atau melambatkan proses penuaan.

Kes ini menjadi peringatan bahawa rawatan kecantikan dan kesihatan yang melibatkan suntikan atau infusi ke dalam saluran darah mempunyai risiko perubatan dan perlu dilakukan oleh pengamal yang mempunyai kelayakan serta lesen berkaitan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *