PUTRAJAYA – Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Negeri dan Kerjasama Antarabangsa Kemboja, Prak Sokhonn memulakan lawatan rasmi selama dua hari ke Malaysia hari ini bagi memperkukuh hubungan diplomatik serta kerjasama strategik antara kedua-dua negara.
Kementerian Luar memaklumkan lawatan itu diadakan menjelang ulang tahun ke-70 hubungan diplomatik Malaysia dan Kemboja pada 2027, sekali gus mencerminkan komitmen kedua-dua negara untuk terus mempererat hubungan yang terjalin sejak sekian lama.
Sepanjang lawatan itu, Prak Sokhonn dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membincangkan hubungan dua hala serta bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama.
Beliau turut dijadual mempengerusikan bersama Mesyuarat Ketiga Suruhanjaya Bersama untuk Kerjasama Dua Hala (JCBC) bersama Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan di Kuala Lumpur.
JCBC merupakan mekanisme dua hala tertinggi antara Malaysia dan Kemboja yang berfungsi sebagai platform utama untuk menilai kemajuan kerjasama sedia ada serta merangka hala tuju baharu dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan, pelaburan, pendidikan, keselamatan dan pembangunan.
Mesyuarat kali ini diadakan selepas hampir dua dekad, susulan Mesyuarat JCBC Kedua yang berlangsung di Siem Reap pada 2006, sekali gus memberi nafas baharu kepada hubungan dua hala kedua-dua negara.
Pada akhir mesyuarat, kedua-dua menteri dijangka menandatangani Agreed MinutesMesyuarat JCBC Ketiga sebagai dokumen rasmi yang merakam keputusan utama serta memperbaharui komitmen Malaysia dan Kemboja untuk memperkukuh kerjasama strategik.
Hubungan ekonomi kedua-dua negara turut menunjukkan perkembangan positif apabila jumlah dagangan dua hala meningkat 27.4 peratus pada tahun lalu kepada RM5 bilion berbanding tahun sebelumnya.
Daripada jumlah itu, eksport Malaysia ke Kemboja bernilai RM4.13 bilion, manakala import dari negara berkenaan mencecah RM880 juta.
Sehingga tahun 2024, pelaburan terkumpul Malaysia di Kemboja berjumlah AS$3.20 bilion melibatkan 162 projek berdaftar, menjadikan Malaysia sebagai pelabur asing ketiga terbesar di negara itu.
Perkembangan tersebut mencerminkan keyakinan tinggi pelabur Malaysia terhadap potensi ekonomi Kemboja, selain mengukuhkan lagi hubungan erat yang dijangka terus berkembang menjelang ulang tahun ke-70 hubungan diplomatik kedua-dua negara pada tahun hadapan.
