KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia bakal menikmati kemudahan pengeluaran wang tunai tanpa sebarang caj di semua mesin juruwang automatik (ATM) dan Mesin Kitar Semula Pintar (SRM) bank bermula 1 Julai 2026.
Inisiatif berkenaan diumumkan oleh Persatuan Bank-bank di Malaysia (ABM), Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) dan Persatuan Institusi Kewangan Pembangunan Malaysia (ADFIM) menerusi satu kenyataan bersama hari ini.
Melalui langkah itu, pemegang kad debit boleh membuat pengeluaran tunai di lebih 14,000 ATM dan SRM di seluruh negara tanpa dikenakan caj RM1 walaupun menggunakan mesin milik bank lain. Kemudahan tersebut diberikan tanpa had dan terpakai kepada semua ATM serta SRM yang dikendalikan oleh bank-bank di Malaysia.
Menurut persatuan berkenaan, pemansuhan caj itu dilaksanakan dengan kerjasama Payments Network Malaysia (PayNet) sebagai usaha memperluaskan akses kepada perkhidmatan kewangan yang lebih inklusif, mudah dan mampu milik untuk semua lapisan masyarakat.
Mereka berkata, walaupun penggunaan pembayaran digital semakin meluas, wang tunai masih memainkan peranan penting dalam urusan harian ramai rakyat Malaysia, khususnya di kawasan yang masih bergantung kepada transaksi tunai.
Sehubungan itu, penghapusan caj pengeluaran tunai antara bank dilihat mampu meringankan kos harian pengguna selain meningkatkan kemudahan akses kepada perkhidmatan perbankan di seluruh negara.
Dalam masa sama, sektor perbankan akan terus memperkukuh penggunaan kaedah pembayaran digital dan tanpa tunai yang lebih selamat, pantas dan efisien sejajar dengan aspirasi negara ke arah ekonomi digital.
Langkah bersejarah itu dijangka memberi manfaat kepada jutaan pengguna bank di Malaysia yang sebelum ini terpaksa menanggung caj tambahan setiap kali mengeluarkan wang tunai menggunakan ATM bank lain.
