Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim menegaskan, kerajaan tidak akan meminggirkan masyarakat India.
Bahkan berikrar untuk terus memperluaskan pelbagai ikhtiar dalam pendidikan, kebajikan dan lain-lain kepada komuniti tersebut.
PMX berkata, beliau meneruskan siri libat urus bersama pimpinan masyarakat India bagi meneliti kemajuan pelaksanaan agenda Kerajaan MADANI.
Di samping mendengar pandangan serta keresahan yang masih membelenggu komuniti ini.
Katanya, pelbagai ikhtiar telah digerakkan dalam bidang pendidikan, keusahawanan, pembiayaan mikro, kebajikan dan bantuan tunai bagi meringankan beban keluarga serta meningkatkan taraf hidup.
“Saya tegaskan bahawa masyarakat India tidak akan sesekali dipinggirkan dan Kerajaan MADANI akan terus memperluas akses pembiayaan kepada usahawan.
“Memperkukuh MITRA, memperkasa latihan keusahawanan dan TVET serta membuka lebih banyak ruang pembangunan belia melalui program mentor-mentee,” katanya dipetik Harapan Madani.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata demikian dalam satu hantaran di media sosial pada Khamis.
Dalam masa sama, Ahli Parlimen Tambun itu berkata, segala kelompongan yang masih wujud.
“Termasuk berkaitan kemiskinan, kewarganegaraan dan akses kepada bantuan, mesti ditangani dengan segera dan berkesan.
“Kementerian dan agensi berkaitan perlu memperkukuh sinergi dan memperkemas penyampaian supaya setiap peruntukan serta dasar yang digerakkan benar-benar sampai kepada sasaran dan membawa perubahan yang nyata dalam kehidupan rakyat,” ujarnya lagi.
Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=dzQQRIOT7fs&pp=0gcJCRsMAYcqIYzv&ra=m
