MALAYSIA CATAT REKOD BAWA PULANG RM31.3 BILION DANA 1MDB


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya mendapatkan semula RM31.3 bilion dana berkaitan skandal 1MDB setakat tahun lalu, iaitu bersamaan 74.5 peratus daripada keseluruhan RM42 bilion yang dipercayai diseleweng.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pencapaian itu sekali gus meletakkan Malaysia antara negara dengan kadar pemulihan aset tertinggi di dunia bagi kes jenayah kewangan berskala besar.

Jumlah tersebut juga melepasi sasaran awal sekitar RM30 bilion atau 70 peratus yang pernah disebut dalam laporan terdahulu.

Menurut Azam, kejayaan itu mencerminkan komitmen kerajaan dalam menjejak dan mendapatkan semula aset negara yang hilang akibat skandal 1MDB.

Beliau berkata usaha pemulihan aset itu turut selari dengan aspirasi Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk memastikan setiap aset negara yang diseleweng dipulangkan semula kepada rakyat.

“Setakat ini, berdasarkan data yang ada, jumlah keseluruhan dana 1MDB yang diseleweng ialah RM42 bilion,” katanya dipetik Harapan Daily.

Malah katanya, pendekatan yang digunakan bukan sekadar rampasan fizikal, tetapi melalui proses undang-undang dan diplomatik yang teliti melibatkan pelbagai negara.

Dalam pada itu, walaupun kurang seminggu sebelum kontraknya tamat, beliau turut memberi jaminanpemulihan aset-aset berkaitan skandal 1MDB dijangka dapat diselesaikan menjelang akhir tahun 2027.

Setakat ini, kata Ketua Pesuruhjaya SPRM itu, nilai pemulihan aset menjelang tarikh itu dianggarkan berjumlah RM7.9 bilion (AS$2 bilion), setelah berjaya memperolehi semula aset sebanyak RM31.3 bilion (AS$7.92 bilion) setakat ini.

Beliau turut menambah, cabaran menguruskan kes 1MDB bermula sejak 3 Julai 2015 sehingga kini melibatkan beberapa badan penguat kuasa di Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK), Switzerland dan Singapura.

Menurutnya lagi, kes itu menjadi antara detik penting dalam kerjayanya, termasuk antara pegawai yang membuka fail siasatan ketika itu.

“Sejak 2015 hingga 2025, 10 tahun kes ini berjalan sehingga pertuduhan dibuat di mahkamah.

“Sehubungan itu, usaha pemulihan aset perlu dipergiatkan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat SPRM pada Rabu.

Azam berkata, sehingga kini, negara berjaya mendapatkan semula aset bernilai lebih RM31.3 bilion.

Ia termasuk penjualan kapal layar mewah ‘Equanimity’ pada harga kira-kira RM543 juta, pemulangan jet peribadi dan hartanah di luar negara.

“Selain itu, Malaysia juga telah mencapai penyelesaian global melibatkan institusi kewangan antarabangsa seperti Goldman Sachs, IPIC dan Aabar, serta firma audit seperti Deloitte dan KPMG, yang secara keseluruhan menyumbang berbilion ringgit kepada negara.

“Pemulangan dana oleh individu dan entiti lain termasuk melalui kerjasama dengan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (USDOJ), turut memperkukuh pencapaian ini,” ujarnya lagi dipetik Harapan Madani.

Jelasnya juga, kejayaan-kejayaan itu tidak mungkin dicapai tanpa kerjasama rapat dengan rakan antarabangsa termasuk Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat.

Azam berkata, SPRM terus komited untuk menjejaki dan mendapatkan semula setiap aset 1MDB yang telah diseleweng, tanpa mengira lokasi atau tempoh masa.

“Usaha ini bukan sahaja bertujuan memulihkan sumber kewangan negara tetapi juga untuk mengembalikan maruah serta kepercayaan rakyat terhadap institusi negara.

“Tiada sesiapa akan terlepas daripada tindakan undang-undang dan setiap sen milik rakyat akan dipastikan dikembalikan,” tegasnya.

Syabas dan tahniah, kerajaan Madani! Terima kasih kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan para Jemaah Menteri yang bertungkus-lumus menjalankan tugasan dan bekerja dengan penuh tanggungjawab demi rakyat dan negara tercinta.

JOMChannel turut menyokong sepenuhnya usaha kerajaan dan SPRM bagi mendapatkan semula segala aset dana 1MDB yang telah diseleweng daripada semua pihak yang terlibat sebelum ini.

Semoga segala langkah serta usaha yang sudah, sedang dan bakal dijalankan dalam memperoleh semua dana aset 1MDB berjalan lancar dan dipermudahkan Allah swt demi kepentingan semua rakyat In Shaa Allah Aamiin Aamiin yra.

Pautan Video:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *