MADANI TERKINI | TUN DR HASMAH DIBERI TARAF ISTIADAT PENGEBUMIAN PEMBESAR NEGARA

Kerajaan MADANI memberikan taraf Istiadat Pengebumian Pembesar Negara kepada Allahyarhamah Tun Dr Hasmah Mohd Ali yang meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur pada pagi Isnin.

Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Malik Razak Sulaiman telah diarahkan untuk membantu menguruskan perihal protokol serta memberikan taraf Istiadat Pengebumian Pembesar Negara buat Allahyarhamah.

“Saya telah mengarahkan Ketua Setiausaha Negara dan Panglima Angkatan Tentera untuk membantu pengurusan dan memberikan taraf Istiadat Pengebumian Pembesar Negara kepada Almarhumah,” katanya dipetik Harapan Madani.

PMX berkata, bagi pihak kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia, beliau menzahirkan rasa dukacita dan ucapan takziah atas pemergian Tun Siti Hasmah yang menghembuskan nafas terakhir di IJN.

“Ingatan dan doa saya bersama Tun Dr. Mahathir Mohamad serta seluruh keluarga dalam menghadapi kehilangan ini.

“Semoga Allah mengampunkan segala dosa Almarhumah, menerima segala amal baktinya dan menempatkannya dalam kalangan orang beriman. Al-Fatihah,” ujarnya lagi.

Terdahulu, sejurus menerima berita pemergian Allahyarhamah Tun, Perdana Menteri merakamkan ucapan takziah buat keluarganya atas pemergian Allahyarhamah.

Ketika beliau sedang berucap pada Persidangan Antarabangsa Masa Depan 2026 (IFC 2026) di ibu negara, beliau mengambil sedikit masa untuk mengajak hadirin bersama-sama mendoakan pemergian Allahyarhamah dan membacakan Surah al-Fatihah.

“Izinkan saya berkongsi berita dukacita mengenai pemergian Tun Siti Hasmah Mohamad Ali.

“Semoga Allah merahmati rohnya dan marilah kita sama-sama membacakan al-Fatihah,” jelasnya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Tambun itu juga berkongsi kenangan usai pemergian Allahyarhamah Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali, yang disifatkannya sebagai seorang yang lembut tutur kata, namun tabah dan kuat jiwanya.

“Kami mengenali Almarhumah sebagai Kak Hasmah, seorang yang lembut tutur katanya, namun tabah dan kuat jiwanya malah sentiasa mengambil berat tentang orang di sekelilingnya dengan kasih sayang seorang ibu.

“Hari ini, negara kehilangan sosok keibuan yang dekat di hati rakyat. Sementalahan, kami akan mengenang Kak Hasmah dengan rasa kasih yang mendalam, bersama segala jasa dan kebaikan yang ditinggalkannya,” tambahnya lagi.

Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=zgxElDJECNo&ra=m

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *