MADANI TERKINI | KUASAI AI TANPA PERLU KORBANKAN NILAI AGAMA, SAHSIAH UMAT

Kewujudan bidang kecerdasan buatan (AI) perlu dikuasai umat Islam tanpa mengorbankan nilai agama, akhlak dan sahsiah diri dalam mengejar kepesatan teknologi.

Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim menegaskan, umat yang mengetepikan teknologi AI berisiko tercicir dalam arus perubahan dan kemajuan dunia.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berucap pada Majlis Perasmian Pembukaan Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTQHA) Ke-66 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di Kuala Lumpur pada Isnin.

Bagaimanapun, PMX juga menegaskan, menguasai teknologi AI bukan bererti mengambil sepenuhnya fahaman atau segala acuan yang datang dari negara asing dan Barat.

“Jangan kerana mengejar ilmu dan teknologi baharu, kita meninggalkan akhlak serta sahsiah.

“Perubahan dan kemajuan tidak seharusnya menyebabkan kita lari daripada semangat serta nilai yang menjadi pegangan kita.

“Pada masa sama, kita perlu kembali kepada kejituan ilmu dengan membina kefahaman yang mendalam dan tidak mudah menerima pandangan yang mendorong kepada sikap pantas menghukum,” katanya dipetik Harapan Madani.

Ahli Parlimen Tambun itu turut berkata, umat Islam dalam masa yang sama tidak boleh meminggirkan turath, iaitu khazanah keilmuan yang diwarisi daripada ulama terdahulu hanya kerana kemunculan tokohatau pemikiran baharu.

Mengenai bentuk pendekatan dakwah dalam kalangan umat Islam, PMX menjelaskan, ia mesti dicetuskan dengan semangat kasih sayang, bukan dengan sikap mendabik dada agar dapat membawa manusia kembali kepada kefahaman, akhlak terpuji dengan berasaskan rahmah.

“Dakwah yang berteraskan rahmah bukan sekadar slogan atau keadaan biasa, sebaliknya mempunyai makna yang sangat mendalam.

“Dalam suasana dunia yang semakin hiruk-pikuk dan penuh perpecahan, kita perlu memastikandakwah tidak menyebabkan manusia semakin jauh dan tersasar,” jelasnya lagi.

Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=zQN3tb1-c2g&ra=m

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *