Perdana Menteri China, Li Qiang memaklumkan kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim bahawa beliau menyokong usaha penterjemahan buku berjudul ‘Rethinking Ourselves: Justice, Reform and Ignorance in Postnormal Times’ ke dalam bahasa Mandarin.
Menurut hantaran di media sosial, PMX menyifatkan usaha berkenaan merupakan sebuah usaha yang murni yang beliau harapkan dapat memperluas medan pertemuan serta pembenturan pemikiran, budayadan peradaban.
“Saya amat tersentuh apabila beliau memberikan sokongan kepada usaha ini. Beliau menyatakan penterjemahan buku itu dilakukan dengan kaedah terbaik,” katanya dipetik Harapan Madani.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata demikian ketika melancarkan buku berkenaan di Hangzhou pada Rabu.
Turut hadir menyaksikan pelancaran buku setebal 339 muka surat itu ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke serta Dr Yan Lüin, ahli ekonomi dan akademik terkenal dari China yang bertanggungjawab menterjemahkan karya berkenaan.
Pada majlis berkenaan, beliau turut sudi menandatangani beberapa buah buku yang dibeli para delegasi China yang menghadiri acara yang menghimpunkan peminat karya asing yang diterjemahkan ke dalam Bahasa Mandarin.
Tambahnya lagi, buku berkenaan tidak berbentuk memoir atau autobiografi, tetapi merupakan himpunan renungan tentang pengaman mengenai penjajahan dan imperialisme, kebangkitan negara negara merdeka, usaha pencarian serta pemurnian jati diri bangsa.
Di samping usaha dan ikhtiar membina negara bangsa serta masa depannya berpaksikan keadilan, kemanusiaan dan kemakmuran bersama.
Karya itu mengemukakan persoalan mengenai bagaimana negara terbabit perlu menentukan masa depan, mempertahankan identiti dan kedaulatan serta sama ada hanya memberi tumpuan kepada kepentingan sendiri atau berkongsi kemakmuran demi manfaat bersama.
“Dalam dunia yang semakin berantakan disebabkan prasangka dan ketidakyakinan, jambatan kefahaman semacam ini harus terus diperkukuh.
“Sementalahan, saya yakin kita tidak harus terperangkap dalam dikotomi Timur atau Barat.
“Dari Confucius dan Mencius sehingga Shakespeare, termasuk dari tradisi Islam hingga khazanahpemikiran pelbagai peradaban, yang harus kita junjung ialah hikmah yang mengangkat martabat manusia yakni prinsip tegas kepada kebenaran, keadilan, ihsan dan rasa hormat antara insan,” ujarnya lagi.
Pautan Video:
