KARATE NEGARA CEMERLANG RAIH DUA EMAS

KUALA LUMPUR – Kejayaan skuad karate negara meraih dua pingat emas dan tiga gangsa pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 membuktikan keberkesanan persiapan rapi serta kerjasama pelbagai pihak dalam membangunkan atlet berprestasi tinggi.

Presiden Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF), Datuk Dr. Nur Azmi Ahmad berkata, pencapaian itu turut didorong sokongan berterusan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN) serta Institut Sukan Negara (ISN).

Menurutnya, Program Podium MSN membantu memperkukuh persiapan atlet, manakala ISN menyediakan sokongan menerusi aspek sains sukan, pemakanan, prestasi dan pemulihan.

Beliau berkata, kejayaan tersebut merupakan hasil ekosistem pembangunan sukan yang bergerak secara menyeluruh, merangkumi perancangan MAKAF, sokongan agensi berkaitan serta komitmen atlet dan barisan jurulatih.

“Kejayaan ini merupakan hasil ekosistem yang bergerak bersama. Sokongan KBS, persiapan MSN, kepakaran ISN, perancangan MAKAF serta kerja keras para atlet dan jurulatih akhirnya diterjemahkan kepada kejayaan di gelanggang,” katanya menerusi kenyataan di Facebook MAKAF.

Emas pertama negara disumbangkan Robert Adeola Fay dalam acara kumite wanita bawah 55 kilogram sebelum Chandran Shahmalarani menambah emas kedua menerusi kumite wanita bawah 50 kilogram.

Tiga gangsa pula diraih Hari Sankar Sureeya Sankar dalam kumite lelaki bawah 60 kilogram, Kaliana Sundram Thevendran bagi kategori kumite lelaki bawah 55 kilogram serta skuad kata berpasukan lelaki yang dibarisi Mazlan Mukhriz, Henry Mohamad Haznil dan Asmadie Muhammad Aiqal.

Nur Azmi berharap kejayaan di Aichi-Nagoya menjadi pemangkin kepada lebih banyak pencapaian karate Malaysia di pentas antarabangsa, selain memperkukuh usaha melahirkan generasi atlet yang mampu bersaing di peringkat tertinggi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *