Negara-negara di Global South mewarisi sistem kewangan dunia yang terlalu bergantung kepada mata wang dolar Amerika Syarikat (AS).
Ia sekali gus memberi lebih banyak manfaat kepada syarikat multinasional berbanding perusahaan kecil.
Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata, sistem itu menyebabkan banyak negara turut menerima tempias apabila berlaku krisis ekonomi atau kewangan di negara lain walaupun tidak terlibat secara langsung.
Menurut Perdana Menteri, Malaysia bagaimanapun mengambil langkah mengurangkan kebergantungan tersebut menerusi penggunaan mata wang tempatan dalam urusan perdagangan dengan beberapa negara termasuk China.
“Kita mewarisi sistem yang terlalu bergantung kepada dolar dan lazimnya memberi manfaat kepada syarikat multinasional besar berbanding pemilik perniagaan kecil.
“Kita bukan bercakap mengenai penyahdolaran sepenuhnya kerana dolar masih penting dalam transaksi kewangan.
“Tetapi kita telah memperluaskan penggunaan mata wang tempatan iaitu yuan dan ringgit dalam banyak urusan perdagangan,” katanya dipetik Harapan Madani.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Global Development Centre (GDC) Ant International di The Exchange 106, Tun Razak Exchange (TRX) pada Rabu.
PMX turut berkata, penggunaan mata wang tempatan dalam perdagangan Malaysia-China meningkat daripada sekitar lima peratus kepada 18 peratus daripada jumlah keseluruhan dagangan antara kedua-dua negara hasil keyakinan serta komitmen bersama.
Tambahnya lagi, sifat ekonomi global yang saling berkait turut menyebabkan krisis di sesebuah negara mampu merebak dengan pantas ke seluruh dunia, sebagaimana ketika Krisis Kewangan Global 2008.
“Malaysia tidak ada kaitan dengan punca krisis itu, namun kita tetap terpaksa menanggung kesannya.
Sebab itu kita memerlukan inovasi yang mampu meningkatkan daya tahan ekonomi, mengurangkan pendedahan kepada kejutan antarabangsa dan memperluaskan akses kepada pembiayaan,” ujarnya lagi.
Malah tegasnya, kemajuan teknologi kewangan dan kecerdasan buatan (AI) perlu dimanfaatkan bagi membina sistem kewangan yang lebih adil, inklusif serta memberi manfaat kepada rakyat, bukannya hanya menguntungkan pihak tertentu.
Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=kM86HseT0gQ&ra=m
