MADANI TERKINI | KKM TEGAS: BAHASA MELAYU KEKAL KEUTAMAAN

Kementerian Kesihatan Malaysia dan Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya tampil memberi penjelasan segera susulan isu tular melibatkan penggunaan Kad Rekod Pemantauan Pesakit Denggi berbahasa Cina di Klinik Kesihatan Setapak yang mencetuskan pelbagai reaksi di media sosial.

Dalam kenyataan rasmi, pihak JKWPKL&P memaklumkan insiden tersebut berlaku pada 18 Mei lalu melibatkan seorang pesakit kanak-kanak yang hadir mendapatkan rawatan kerana disyaki demam denggi.

Menurut jabatan itu, penggunaan rasmi rekod pemantauan pesakit di semua fasiliti kesihatan kerajaan kekal menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa utama urusan perkhidmatan awam.

Bagaimanapun, bagi membantu komunikasi terutama di kawasan berkepadatan tinggi dan melibatkan pesakit pelbagai latar belakang bahasa, pihak klinik turut menyediakan kad pemantauan dalam beberapa bahasa sebagai inisiatif sokongan komunikasi.

Dalam kes ini telah berlaku kesilapan tidak disengajakan apabila kad berlainan bahasa diberikan kepada penjaga pesakit,” menurut kenyataan tersebut.

JKWPKL&P turut menjelaskan bahawa walaupun kad berkenaan dicetak dalam bahasa lain, penerangan rawatan dan pemantauan tetap disampaikan sepenuhnya dalam Bahasa Melayu oleh pegawai perubatan termasuk catatan bertulis pada kad tersebut.

Susulan insiden itu, pihak jabatan mengambil langkah penambahbaikan segera bagi memastikan proses pemberian kad pemantauan selepas ini dibuat dengan lebih teliti dan bersesuaian.

Dalam masa sama, kerajaan turut menegaskan komitmen untuk terus memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dalam penyampaian perkhidmatan kesihatan kerajaan tanpa menjejaskan keperluan komunikasi kepada rakyat pelbagai kaum.

Pemerhati melihat tindakan pantas KKM memberi penjelasan terbuka dan memohon maaf atas kekeliruan itu membuktikan pendekatan kerajaan yang responsif serta telus dalam menangani isu melibatkan sensitiviti awam.

Di media sosial, beberapa pegawai perubatan turut tampil menjelaskan bahawa kad pemantauan denggi dalam pelbagai bahasa bukan perkara baharu, sebaliknya telah lama digunakan bagi memastikan pesakit benar-benar memahami tanda bahaya demam denggi dan mendapatkan rawatan segera sekiranya keadaan bertambah serius.

Kesihatan melibatkan nyawa. Pesakit perlu faham simptom bahaya dengan jelas tanpa mengira bahasa,” kata seorang pegawai perubatan yang turut menjelaskan penggunaan pelbagai bahasa membantu meningkatkan tahap pemantauan pesakit.

Terdahulu, isu berkenaan menjadi tular selepas satu video di platform TikTok mempersoalkan penggunaan tulisan Cina pada kad pemantauan pesakit di klinik kesihatan kerajaan.

Bagaimanapun, ramai pihak mengingatkan orang ramai agar tidak mempolitikkan isu kesihatan kerana fokus utama sistem kesihatan awam adalah memastikan rawatan, keselamatan dan komunikasi kepada pesakit dapat dilaksanakan secara berkesan.

Setakat ini, KKM menegaskan penyampaian perkhidmatan kesihatan kerajaan kekal berteraskan Bahasa Melayu di samping memastikan rakyat menerima maklumat kesihatan yang mudah difahami demi keselamatan dan kesejahteraan semua pihak.

Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=UHiJkLJYP1k&ra=m

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *