MADANI TERKINI | KERAJAAN AKAN PERKASA INISIATIF WAKAF DAKWAH

Kerajaan akan memulakan perbincangan bagi memperkasakan inisiatif Wakaf Dakwah di negara ini dengan membabitkan beberapa kementerian berkaitan sebelum cadangan dibawa ke Jemaah Menteri dan seterusnya dipersembahkan kepada Majlis Raja-Raja, kata Perdana Menteri.

Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha itu langkah penting bagi memperkasakan wakaf sebagai instrumen pembangunan dakwah yang lebih tersusun, berkesan dan mampan.

Katanya, inisiatif itu juga bertujuan memperkukuh peranan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) sebagai wadah penyebaran dakwah Islam yang sederhana, inklusif dan berteraskan hikmah.

“Saya sudah minta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan untuk memulakan perbincangan bersama PERKIM dan pihak berkaitan.

“Selepas melalui proses ditetapkan, perkara ini akan dimaklumkan kepada Majlis Raja-Raja Melayu sebagaimana ketetapan sedia ada berkaitan hal ehwal wakaf,” katanya dipetik Media Perpaduan.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Konvensyen Wakaf Dakwah Antarabangsa 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada Isnin.

Hadir sama, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang juga Yang Dipertua PERKIM.

Menurutnya, pendekatan dakwah pada masa kini perlu lebih canggih dan bersesuaian cabaran semasa termasuk menangani gejala Islamofobia serta persepsi negatif terhadap Islam yang masih wujud di peringkat global.

“Cabaran hari ini bukan lagi soal penjajahan fizikal, tetapi penjajahan pemikiran. 

“Sebab itu dakwah perlu disampaikan dengan penuh hikmah, menggunakan pendekatan yang bijaksana dan memanfaatkan teknologi semasa,” ujarnya lagi.

Dalam ucapannya, PMX menekankan kepentingan institusi wakaf dan dakwah untuk menguasai teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI), pendigitalan dan pengkomputeran kuantum bagi memastikan negara tidak ketinggalan dalam arus perubahan global.

Bagaimanapun, kata Ahli Parlimen Tambun itu lagi, kemajuan teknologi perlu diseimbangkan dengan nilai keimanan, akhlak dan jati diri.

“Saya sering menyebut, kita perlu ‘menggapai di langit dan mengakar di bumi’. Menggapai di langit bermaksud menguasai teknologi baharu, manakala mengakar di bumi ialah memastikan kita kekal berpaksikan akidah, akhlak, budaya dan sejarah bangsa.

“Jika kita hanya mengejar teknologi tanpa nilai kemanusiaan, kita akan kehilangan arah. Sebab itu, kemerdekaan perlu dimaknakan dengan membina sebuah negara maju yang tetap berteraskan nilai dan identiti sendiri,” jelasnya.

Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=vPmVKXrlX-g&ra=m

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *