Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengingatkan golongan muda agar tidak membiarkan politik kebencian, perkauman dan prejudis menjadi racun yang memecah-belahkan masyarakat, sebaliknya memilih jalan perpaduan sebagai asas membina masa depan negara.
Berucap dalam Program Jelajah Rakan Muda di Paroi pada malam Rabu, Perdana Menteri berkata,generasi muda perlu menjadi pelopor kepada budaya saling menghormati dan menerima kepelbagaian kaum serta agama yang menjadi kekuatan Malaysia.
Menurutnya yang juga Menteri Kewangan, kemajuan negara hanya mampu dicapai jika rakyat terus mempertahankan perpaduan dan menolak sebarang usaha yang mencetuskan perpecahan.
“Jangan biarkan politik kebencian, perkauman atau prejudis memecah-belahkan kita.
“Kerana Malaysia hanya akan maju jika kita memilih perpaduan, saling menghormati dan menerima kepelbagaian sebagai satu elemen yang mengikat kita semua,” katanya dipetik Harapan Daily.
Selain menyentuh soal perpaduan, PMX turut menggesa anak muda mengejar ilmu bersungguh-sungguh.
Namun, mengingatkan bahawa pendidikan tidak seharusnya dipisahkan daripada nilai kebijaksanaan dan akhlak.
Tambahnya lagi, ilmu tanpa hikmah berpotensi melahirkan individu yang angkuh, manakala ilmu yang dipandu nilai kemanusiaan mampu membentuk generasi berintegriti, berani mempertahankan kebenaran serta sanggup berkhidmat kepada masyarakat.
Ahli Parlimen Tambun itu turut menegaskan, ukuran kejayaan seseorang bukan hanya terletak pada pangkat, kedudukan atau kekayaan yang dimiliki.
Sebaliknya, katanya, nilai kemanusiaan, integriti dan keupayaan menyatukan masyarakat adalah ukuran sebenar kejayaan sesebuah generasi.
“Jadilah generasi yang berilmu, berintegriti, berjiwa ihsan dan sentiasa memilih untuk menyatukan, bukan memecahkan,” ujarnya lagi.
PMX juga berkata beliau yakin Malaysia akan terus aman, maju dan bermaruah sekiranya anak muda terus berpegang kepada prinsip perpaduan, ilmu dan nilai kemanusiaan dalam menghadapi cabaran masa depan.
Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=I59b9w9FwqM&ra=m
