Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menghantar pasukan pegawai penyiasat dan risikan JabatanSiasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman ke Jakarta, Indonesia minggu depan.
Penghantaran pasukan itu bertujuan untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan rangkaian sindiket yang dipercayai terlibat dalam kes penyeludupan dadah membabitkan seorang juruterbang Malaysia.
Pengarah JSJN Bukit Aman, Dato’ Hussein Omar Khan berkata, pasukan itu akan berada di Jakarta dari 11 hingga 15 Ogos, bagi membantu melengkapkan siasatan.
Ia termasuk mengenal pasti sumber bekalan dadah, kaedah penyeludupan serta kemungkinan mempunyai kaitan suspek dengan sindiket di Indonesia.
Beliau berkata, PDRM akan meneliti dari segi keseluruhan pengedaran dadah ini meliputi sumber bekalan, sindiket yang terlibat, cara dadah itu diperoleh.
Serta cara suspek boleh melepasi tapisan keselamatan di pintu keluar Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) serta kaitannya dengan sindiket di Indonesia.
“Siasatan itu penting bagi mengenal pasti keseluruhan rantaian pengedaran termasuk kemungkinan penglibatan pihak lain,” katanya dipetik Harapan Madani.
Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas menjadi tetamu program Waspada terbitan Bernama Radio.
Mengulas kedudukan suspek yang kini berdepan proses undang-undang di Indonesia, Hussein berkata tiada permohonan ekstradisi akan dibuat dan juruterbang tersebut perlu menjalani proses perundangan di negara itu.
“Tak ada (ekstradisi)… kita boleh ambil tahu dan pihak Polis Indonesia (POLRI) akan berkongsi perkembangan kes tetapi dia kena melalui proses undang-undang di negara itu,” ujarnya lagi.
Sebelum ini, media melaporkan seorang juruterbang berusia 39 tahun ditahan pihak berkuasa Indonesia di Terminal 3, Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta selepas didakwa cuba menyeludup 25 kilogram dadah.
Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=I4cENWcqj-8&ra=m
