Penganjuran perlumbaan Formula 1 (F1) Grand Prix Bahrain Gulf Air di Malaysia di LitarAntarabangsa Sepang (SIC) pada Oktober ini bakal membawa limpahan ekonomi besar menerusi peningkatan sektor pelancongan, peluang pekerjaan dan aktiviti perniagaan.
Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata, penganjuran bertaraf dunia itu turut diyakini mampu mengukuhkan keyakinan pelabur, sekali gus menyemarakkan Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.
Menurutnya, perkara itu antara yang diteliti menerusi pertemuan bersama Pengarah Eksekutif GP Singapura, Michael Roche, bagi mendapatkan pengalaman dan amalan terbaik Singapura dalam memastikan penganjuran perlumbaan berkenaan berlangsung dengan cemerlang.
“Insya-Allah, kita komited memastikan penganjuran ini bukan sahaja memenuhi piawaian antarabangsa.
“Malah mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab sukan permotoran serantau serta membawa manfaat yang meluas kepada rakyat dan ekonomi negara,” katanya dalam hantaran di Facebook dipetik Media Perpaduan.
PMX turut berkata, pengalaman dan amalan terbaik daripada negara yang berjaya menganjurkan acara F1 akan menjadi rujukan bagi memastikan penganjuran di SIC mencapai standard yang ditetapkan.
Dalam perkembangan yang berkaitan, pertumbuhan ekonomi Malaysia bagi tempoh suku kedua 2026 diunjur berada pada tahap baik, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenainya prestasi itu menjelang pengumuman rasmi angka Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku kedua yang dijadualkan pada 14 Ogos ini.
Amir Hamzah bagaimanapun enggan mengulas lanjut sewaktu ditemui pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada acara RHB Progress Series 2026 pada Khamis.
Untuk rekod, Bank Negara Malaysia (BNM) dijadual mengumumkan data KDNK pada minggu depan yang dapat memberi gambaran lebih jelas mengenai prestasi ekonomi negara sepanjang tempoh April hingga Jun 2026.
Sebelum ini pada 17 Julai lalu, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) telah mengeluarkan anggaran awal KDNK bagi suku kedua 2026 yang menunjukkan ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.8 peratus selepas mencatat pertumbuhan 5.4 peratus pada suku sebelumnya.
Menurut DOSM, prestasi itu disokong oleh pertumbuhan dalam hampir semua sektor ekonomi kecuali sektor pertanian yang mengalami penguncupan.
Sehubungan dengan itu, ekonomi Malaysia telah berkembang sebanyak 5.4 peratus pada suku pertama2026, sekali gus mengatasi anggaran awal sebanyak 5.3 peratus.
Pertumbuhan itu telah dipacu oleh permintaan domestik yang memberangsangkan selain aktiviti pelaburan serta eksport.
Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=yY7pcyT2qZE&ra=m
