MADANI TERKINI | PMX UMUM GERAN TAHUNAN KRT NAIK DARIPADA RM6,000 KEPADA RM10,000

Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kenaikan geran tahunan bagi setiap Kawasan RukunTetangga (KRT) daripada RM6,000 kepada RM10,000 dengan dana terbabit akan disalur bermula Januari tahun depan.

Perdana Menteri berkata, kenaikan peruntukkan itu buat pertama kali dalam tempoh 10 tahun dan ia diputuskan selepas kerajaan melihat keperluan serta peranan dimainkan KRT kepada masyarakat.

Justeru, beliau meminta semua KRT menghantar laporan kewangan dan kegiatan dalam tempoh satuatau dua bulan bagi membolehkan peruntukan disalurkan awal tahun depan.

“Untuk KRT ini, dalam 10 tahun lalu hanya diberi RM6,000. Tapi kali ini saya bersetuju menambah peruntukan,” katanya dipetik Media Perpaduan.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi ramah mesra bersama KRT peringkat Johor di Dataran Segamat pada Rabu.

PMX turut berkata, ketika ini terdapat 8,615 KRT seluruh negara melibatkan 250,000 anggota dengan pelaksanaan kira-kira 100,000 aktiviti pada tahun lalu.

Pada majlis itu, beliau juga mengumumkan peruntukan kepada institusi pendidikan Islam terdiri Sekolah Agama Rakyat (SAR), maahad tahfiz serta pondok pengajian.

Katanya yang juga Menteri Kewangan, kerajaan komited menyalurkan semula bantuan kepada SAR selepas dihentikan pada 2003.

“Pada waktu itu, semua peruntukan SAR dihentikan dan kerajaan menyambung semula peruntukan sejak 2023.

“Kita buat keputusan pada 2023, kembalikan peruntukan dihentikan sejak 20 tahun lalu. Itu pun ada orang kata saya tidak mendokong Islam… ini semua tak betul.

“Peruntukan pada 2024, diagihkan kerana banyak sekolah daif… tandas tak sempurna, asrama tak selamat.

“Oleh itu, saya ambil keputusan bantu SAR, institusi pendidikan Islam seluruh negara termasuk Johor.

“Untuk Johor 16 projek telah diluluskan dengan peruntukan berjumlah RM3.205 juta,” ujarnya lagi.

Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=2ukNj2NqjV0&ra=m

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *