Dakwaan kononnya Dato’ Seri Anwar Ibrahim membeli sebuah kenderaan mewah jenama BMW untuk kegunaan peribadi telah dinafikan lagi oleh Perdana Menteri.
“Ada orang cakap Anwar ini cakap nak tolong orang miskin tapi dia beli kereta besar, kereta baharu BMW…
“Saya tak beli, itu kereta lama… apa pasal mahu tipu,” katanya dalam ucapan pada program Yok! Meriahkan Johor! Undi HARAPAN di Senggarang pada Khamis.
Mengulas lanjut, PMX berkata, kenderaan Mercedes yang sering digunakan ketika ini pula adalah kurniaan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
“Yang saya pakai sekarang ini, Agong kurnia dan bukan saya ambil (sebagai hak milik persendirian)…
“Saya daftarkan di bawah Jabatan Perdana Menteri… jangan fikir saya macam orang lain, sakau dan curi duit rakyat,” tegasnya lagi dipetik Harapan Madani.
Penafian itu dibuat susulan dakwaan yang tular di platform media sosial berhubung status pemilikan kenderaan BMW yang digunakan Perdana Menteri sebelum ini.
Jabatan Perdana Menteri (PMO) bersama dengan Bahagian Istiadat dan Urusetia Antarabangsa (BIUPA) dalam kenyataan Isnin lepas memaklumkan kereta jenis BMW yang digunakan Perdana Menteri baru-baru ini adalah aset sedia ada milik kerajaan dan bukannya kenderaan rasmi baharu.
Kenyataan sama memaklumkan kenderaan itu ialah aset di bawah seliaan BIUPA yang dikhususkan untuk kegunaan logistik rasmi negara.
Hadir sama pada program malam tadi adalah Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Dato’Fahmi Fadzil yang juga Menteri Komunikasi.
Turut hadir, calon PH bagi Pilihan Raya Umum (PRU) Johor ke-16 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Senggarang, Onn Abu Bakar; Mohd Khuzzan Abu Bakar (DUN Semerah) dan DUN Penggaram, Felicia Poh Rui Ling.
Untuk rekod, PRU Johor akan berlangsung Sabtu ini dengan PH meletakkan calon di semua 56 kerusi DUN.
Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=1IoDndNDBF0&ra=m
