Malaysia dan Indonesia sepakat mewujudkan kerjasama antara agensi di peringkat pelaksanaan bagi menangani isu keselamatan dalam talian kanak-kanak, dengan usaha turut dirancang melibatkan Singapura dalam kerjasama itu.
Menteri Komunikasi, Dato’ Seri Fahmi Fadzil berkata, isu keselamatan dalam talian, khususnya melibatkan kanak-kanak adalah perkara penting yang memerlukan perhatian bersama negara-negara di rantau ini.
“Kita berusaha mengadakan pertemuan tiga pihak melibatkan Malaysia, Indonesia dan Singapura.
“Insya-Allah pada Disember ini sekiranya kelapangan (waktu) mengizinkan,” katanya dipetik Harapan Madani.
Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas pertemuan dua hala dengan rakan sejawatnya dari Indonesia, Meutya Hafid, di Denpasar, Indonesia pada Selasa.
Beliau berkata, walaupun negara-negara ASEAN mempunyai undang-undang dan pendekatan pelaksanaan yang berbeza, usaha yang dimulakan Malaysia, Indonesia dan Singapura berpotensi menggalakkan penyertaan negara-negara lain di rantau ini.
“Kita bukan sekadar mempunyai dasar yang seiring, tetapi juga mungkin beberapa mekanisme yang hampir serupa, walaupun tidak semestinya sama sepenuhnya,” jelasnya lagi.
Fahmi turut menyambut baik hasrat Meutya untuk mempererat kerjasama antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan Kementerian Komunikasi dan Digital Indonesia.
“Pengalaman MCMC dalam mengendalikan aduan orang ramai berkaitan media sosial juga boleh dimanfaatkan pihak berkuasa Indonesia,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Pembangunan Digital dan Penerangan Singapura, Josephine Teo berkata, beliau sempat bertukar pandangan dengan Fahmi.
Antaranya mengenai perkembangan sektor telekomunikasi di negara masing-masing ketika mereka bertemu secara kebetulan di Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai pada Isnin.
Pertemuan itu ketika Fahmi baru tiba di Bali atas jemputan menyampaikan ucaptama pada Bali Tech Week 2026.
Manakala Teo sedang menunggu penerbangan pulang ke Singapura selepas menghadiri program berkenaan.
Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=Mm0JrvqzooY&ra=m
