MADANI TERKINI | PEMIMPIN MASYARAKAT PERLU SABAR HADAPI CABARAN, BERSAMA BANGUNKAN NEGARA

Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata, pemimpin masyarakat perlu mempunyai tahap kesabaran tinggi dalam mendepani cabaran semasa.

Selain terus komited bersama-sama Kerajaan MADANI untuk menjayakan agenda pembangunan negara.

Menurutnya, walaupun berdepan dengan pelbagai tohmahan, menjadi tanggungjawab para pemimpin untuk terus menyempurnakan segala amanah yang diberikan oleh rakyat.

“Untuk membangunkan (negara), ia lebih mencabar dan sukar dan lebih menuntut kesabaran, kebijaksanaan. Kesabaran ini dituntut dalam al-Quran dan ia bukan mudah.

“Hendak bersyarah ikut mulut, melemparkan makian memang mudah.

“Misalnya mengenai Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), saya kena maki teruk, tapi dahulu PAS, Bersatu semua sokong iktiraf UEC, apa beza dengan sekarang?,” tegasnya dipetik Media Perpaduan.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi Pertemuan Mesra bersama Ketua-ketua JabatanPersekutuan dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) negeri Kedah di Universiti Teknologi MARA, Merbok pada Ahad.

Turut hadir, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail serta Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari.

Dalam pada itu, beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, pemimpin masyarakat juga perlu mempunyai maklumat mencukupi serta mengetahui kaedah terbaik untuk menyampaikannya kepada orang ramai.

PMX berkata beliau juga tidak akan melayan sebarang sindiran terhadapnya, sebaliknya akan terus menumpukan usaha kepada agenda pembangunan ekonomi negara dan melakukan apa yang terdaya bagi mengurangkan beban rakyat.

“Susah macam mana pun, kalau masalah orang susah, saya tidak pernah kata tangguh.

“Kalau tandas sekolah rosak, rumah bocor, saya cari jalan (penyelesaian). Potonglah elaun menteri pun,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan agar setiap institusi kekeluargaan dijaga dan disusun dengan baik.

Di samping melatih anak-anak dengan kemahiran dalam bidang serta teknologi baharu supaya mereka menjadi lebih baik berbanding generasi terdahulu.

“(Menguasai) kecerdasan buatan (AI) kita perlu ada nilai, ada akhlak, asas agama.

“Kalau ada yang menyesatkan kita sekat. Negara hendak maju tidak boleh tinggal asas akidah dan akhlak,” ujarnya.

Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=S3lFYKMTYmU&ra=m

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *