MADANI TERKINI | MALAYSIA, INDONESIA TINGKAT KERJASAMA TANGANI JEREBU

Malaysia dan Indonesia bersetuju untuk meningkatkan kerjasama dalam pemantauan kawasan titik panas.

Di samping memperkukuh penguatkuasaan terhadap pembakaran terbuka dan mempermudah kemungkinan operasi pembenihan awan untuk menangani jerebu rentas sempadan. 

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Dato’ Sri Arthur Joseph Kurup berkata, kerjasama itu perlu memandangkan jerebu kekal menjadi masalah serantau yang memerlukan tindakan diselaraskan dalam kalangan negara ASEAN.

“Baru-baru ini kita mengadakan mesyuarat ASEAN. Saya telah bertemu dengan semua rakan sejawat.

“Termasuk Menteri Lingkungan Hidup Indonesia dan kami bersetuju untuk meningkatkan kolaborasi kami. 

“Ini termasuk dari segi memantau titik panas, memperketat penguatkuasaan untuk memastikan tiada pembakaran terbuka.

“Serta berkongsi ruang udara dan mungkin aset sekiranya perlu melakukan operasi pembenihan awan,” katanya dipetik Media Perpaduan.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa mengenai Perhutanan Tropika 2026 di Kota Kinabalu pada Selasa.

Menurut Arthur, kerjasama serantau itu semakin penting memandangkan Malaysia sedang memasuki fasa Super El Nino.

Di mana ia berkemungkinan menyebabkan pengurangan taburan hujan, cuaca kering berpanjangan dan lebih banyak titik panas.

“Perkara itu mungkin memburukkan jerebu. Kita perlu mengakui jerebu bukan masalah dihadapi oleh satu negara, tetapi isu serantau.

“Apa yang berlaku di negara jiran juga akan menjejaskan kita,” ujarnya lagi.

Arthur turut berkata, Malaysia akan terus membawa perkara itu ke peringkat ASEAN bagi meningkatkan penyelarasan serantau dalam menangani jerebu dan faktor yang menyumbang kepadanya.

“Ini usaha bersepadu yang perlu kita lakukan pada peringkat serantau kerana ini adalah masalah serantau,” jelasnya.

Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=-DVfQS_C8oE&ra=m

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *