Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata, kerjasama dengan syarikat utama Jepun dan antarabangsa dapat membantu Malaysia memperkukuh daya tahan ekonomi serta keterjaminan bekalan ketika dunia kini berdepan dengan krisis bekalan global.
Perdana Menteri berkata, beliau telah mengadakan pertemuan dengan beberapa syarikat utama Jepun dan antarabangsa di Tokyo pada Selasa.
Ia memberi tumpuan kepada potensi kerjasama serta peluang pelaburan baharu dalam pelbagai sektor strategik antaranya tenaga, industri halal, kecerdasan buatan (AI), pusat data, teknologi digital dan industri masa hadapan.
“Fokus Malaysia adalah menarik lebih banyak pelaburan berkualiti bagi memperkasa ekosistem berteknologi tinggi negara.
“Pada masa sama, usaha itu dijangka mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan bernilai tinggi untuk rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Pertemuan tersebut melibatkan syarikat IBM Corporation, Mitsubishi Corporation, ENEOS Corporation, Shizen Energy Inc., DENSO Corporation dan Marubeni Corporation.
Kesemua syarikat berkenaan merupakan antara peneraju dunia dalam bidang AI, teknologi perkomputeran termaju, automotif berteknologi tinggi, tenaga, infrastruktur serta pembangunan tenaga boleh baharu.
Beliau yang juga Menteri Kewangan menyifatkan, keyakinan syarikat terkemuka Jepun terhadap Malaysia mencerminkan kedudukan negara yang semakin dipercayai sebagai destinasi pelaburan strategik di rantau ini.
“Keyakinan itu penting khususnya dalam sektor yang bakal memacu pertumbuhan ekonomi masa depan.
“Kerjasama berkenaan turut memperkukuh hubungan ekonomi Malaysia-Jepun yang telah terjalin sejak sekian lama,” ujarnya lagi dipetik Harapan Madani.
Dalam pada itu, syarikat terkemuka Jepun dipelawa untuk memperluaskan pelaburan dalam sektor teknologi moden termasuk kecerdasan buatan (AI), semikonduktor, pengkomputeran awan dan teknologi kuantum bagi memperkukuh hab teknologi serantau.
Ahli Parlimen Tambun itu berkata, kerajaan sedang memacu Malaysia memasuki fasa baharu dalam pembangunan ekonomi dengan memberi tumpuan kepada industri berimpak tinggi selepas kejayaan dalam hubungan perdagangan Malaysia-Jepun sebelum ini seperti getah, minyak dan gas.
“Kita sudah menjadi hab semikonduktor di rantau ini dan sektor ini berkembang dengan amat pesat.
“Kita telah menyaksikan eksport daripada elektrik dan elektronik (E&E) yang sangat besar nilainya dan saya percaya ramai dalam kalangan anda, mungkin tujuh atau lapan syarikat, turut terbabit dalam bidang pengkomputeran kripto.
“Saya juga ingin merakamkan penghargaan kerana ini adalah bidang baharu yang sedang berkembang, termasuk digital, kecerdasan buatan (AI) dan kripto.
“Semua ini adalah sektor baharu yang perlu diberi perhatian, di samping bidang tradisional yang terus kita kekalkan dan bangunkan,” katanya dipetik Media Perpaduan.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan kata-kata aluan pada Mesyuarat Meja Bulat bersama 29 tokoh perniagaan dan pemimpin industri Jepun.
Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=MF5mNzddG-o&ra=m
