JAKARTA – Seorang lelaki di Jawa Tengah ditahan selepas dipercayai membunuh ibu mentuanya dengan menghantar sate ayam yang dicampur racun tikus dalam satu pembunuhan yang dirancang rapi dan menggemparkan masyarakat Indonesia.
Suspek, Purwadi Wahyudi, 40, didakwa membeli sate ayam sebelum mencampurkan racun tikus ke dalam makanan itu dan menghantarnya ke rumah mangsa, Aminah, 57, menggunakan perkhidmatan penghantaran pada 18 Mei lalu di Boyolali, Jawa Tengah.
Menurut polis, mangsa ditemui meninggal dunia di dalam rumahnya pada keesokan hari dalam keadaan terdapat kesan muntah di sekitar badan. Kejadian itu terbongkar selepas anak mangsa, Luriyanti Putri, memaklumkan kepada penyiasat bahawa ibunya menerima bungkusan sate daripada individu tidak dikenali sehari sebelum kematiannya.
Siasatan mendapati suspek menggunakan akaun penghantaran atas nama adik iparnya sendiri lengkap dengan gambar profil wanita itu bagi mengelakkan identitinya dikesan. Malah, beliau turut menukar bungkusan asal sate dan mengarahkan penghantar menyatakan makanan tersebut dihantar oleh seorang ahli keluarga.
Polis kemudian menggali semula kubur mangsa untuk menjalankan bedah siasat. Hasil pemeriksaan forensik mengesahkan terdapat bahan kimia toksik dan racun tikus dalam tubuh mangsa selain kesan kerosakan pada beberapa organ utama.
Ketua Unit Siasatan Jenayah Boyolali, Indrawan Wira Saputra berkata, suspek mengaku bertindak demikian kerana menyimpan perasaan sakit hati terhadap layanan ibu mentuanya yang didakwa sering mengabaikan dan tidak menghormatinya.
Pihak berkuasa turut merampas pelbagai bahan bukti termasuk telefon bimbit, rakaman audio, pakaian mangsa serta beberapa lidi sate yang dipercayai berkaitan dengan kes tersebut.
Purwadi kini didakwa mengikut peruntukan pembunuhan terancang di bawah undang-undang Indonesia. Jika sabit kesalahan, dia berdepan hukuman mati, penjara seumur hidup atau penjara sehingga 20 tahun.
