MADANI TERKINI | KERAJAAN ARAH HENTI GUNA APLIKASI MILIK ISRAEL, WAZE SERTA-MERTA

Kerajaan mengeluarkan arahan bagi semua anggota perkhidmatan awam menghentikan penggunaan aplikasi navigasi ‘Waze’ berpangkalan di Israel, serta-merta.

Arahan itu dimaklumkan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar menerusi surat rasmi bertarikh 20 Oktober 2026 kepada ketua setiausaha kementerian, ketua jabatan Persekutuan, ketua pengurusan badan berkanun Persekutuan serta pihak berkuasa berkaitan.

Menurutnya, keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN) Bilangan 3 Tahun 2026 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada Selasa.

“Semua ketua setiausaha kementerian dan ketua jabatan diarahkan memastikan arahan itu dimaklumkan kepada pegawai di bawah seliaan masing-masing termasuk agensi dan jabatan berkaitan untuk dilaksanakan serta-merta,” katanya dipetik Harapan Madani.

Ujarnya lagi, kesemua penjawat awam perlu memberi kerjasama dan perhatian serius bagi memastikan keputusan berkenaan dipatuhi sepenuhnya di peringkat kementerian, jabatan dan agensi masing-masing.

“Sebarang pertanyaan atau keperluan penjelasan lanjut berhubung pelaksanaan arahan itu boleh dikemukakan kepada Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri selaku agensi penyelaras bagi perkara berkenaan,” tegasnya lagi.

Untuk rekod, Waze ialah aplikasi navigasi berasaskan GPS yang dibangunkan oleh syarikat teknologi dari Israel pada 2009.

Dalam pada itu, kerajaan menggalakkan orang ramai untuk menggunakan aplikasi tempatan TuJu, yang dibangunkan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) sebagai alternatif bagi penggunaan pandu arah (navigasi) di jalan dan lebuh raya.

PMX berkata, langkah alternatif itu dicadangkan berikutan risiko keselamatan maklumat dan data pergerakan rakyat susulan penggunaan aplikasi Waze yang terikat di bawah undang-undang kerajaan Israel.

“Turut dibincangkan ialah pelaksanaan Akta Keselamatan Siber 2024, keselamatan MyDigital ID, persediaan menghadapi ancaman komputer kuantum melalui kriptografi pasca-kuantum (PQC), ancaman baharu berasaskan kecerdasan buatan autonomi serta perlindungan Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (NCII).

“Kita tidak boleh berkompromi dalam soal keselamatan data dan identiti rakyat. Justeru, kerajaan memperkukuh ekosistem identiti bersepadu dengan MyKad sebagai kredensial fizikal dan MyDigital ID bagi urusan digital.

“Disokong perlindungan siber yang lebih ampuh termasuk persediaan menghadapi ancaman masa hadapan melalui PQC,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Ahli Parlimen Tambun itu juga berkata, usaha itu penting bagi memastikan pendigitalan perkhidmatan awam terus memberi manfaat kepada rakyat tanpa mengabaikan keselamatan, kepercayaan dan kedaulatan negara.

Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=CZq1Uq8RBmQ&ra=m

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *