DKU TIDAK BERDIAM DIRI, FAIL PERMOHONAN HINA MAHKAMAH

Kemelut takhta Negeri Sembilan terus berlarutan apabila Dewan Keadilan dan Undang (DKU) memfailkan permohonan baharu untuk memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap Menteri Besar, Dato’ Ismail Lasim dan 16 individu lain.

Permohonan itu dikemukakan DKU bersama setiausahanya, Raja Norazli Raja Nordin di Mahkamah Tinggi Seremban pada 15 Oktober lalu.

Selain Ismail, individu yang dinamakan termasuk 10 bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) dan enam plaintif dalam pertikaian undang-undang membabitkan DKU.

Enam individu berkenaan ialah tiga Undang yang dipertikaikan, iaitu Dato’ Mubarak Dohak @ Thahak, Dato’Maarof Mat Rashad dan Dato’ Abd Rahim Yasin.

Turut dinamakan ialah Undang Johol, Dato’ Muhammed Abdullah; Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri serta Datuk Seri Badarudin Abdul Khalid.

Dalam permohonan itu, DKU menegaskan bahawa kesemua 17 individu terbabit telah melanggar atau menjejaskan perintah injunksi Mahkamah Tinggi bertarikh 5 Jun lalu.

Injunksi berkenaan melarang enam plaintif membuat atau melaksanakan sebarang keputusan berkaitan pentadbiran dan hal ehwal DKU.

Mereka juga dilarang mengambil tindakan yang boleh mengubah kedudukan DKU seperti sebelum 21 Mei lalu.

Bagaimanapun, DKU mendakwa, enam plaintif terbabit terus berusaha melaksanakan pengisytiharan bertarikh 19 April mengenai kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Malah, mereka didakwa mempertahankan kesahihan pengisytiharan itu menerusi beberapa kenyataan media dan sidang akhbar antara 5 September hingga 11 Oktober lalu.

Dalam pada itu, DKU turut mempersoalkan tindakan Ismail bersama 10 bekas EXCO yang secara sedar melaksanakan pengisytiharan berkenaan.

Antara tindakan dibangkitkan ialah Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri pada 15 September lalu.

Pemohon mendakwa mesyuarat itu membuat keputusan kolektif bahawa Tuanku Muhriz Tuanku Munawir diturunkan daripada takhta.

Pada masa sama, Tunku Dato’ Seri Nadzaruddin Tuanku Ja’afar didakwa diiktiraf sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12.

Malah menurut pemohon lagi, keputusan tersebut merupakan campur tangan dalam pentadbiran DKU, sekali gus didakwa melanggar injunksi mahkamah.

Tambahan lagi, DKU turut merujuk surat Ismail bertarikh 17 September kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.

Surat berkenaan didakwa mengulangi keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta memohon supaya perkara itu dibawa kepada pengetahuan Raja-Raja Melayu.

Sehubungan itu, DKU memohon kebenaran mahkamah untuk memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap semua individu yang dinamakan.

Terdahulu, menurut Badan Peguam Malaysia, proklamasi bertarikh 19 April 2026 yang bertujuan menurunkan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir daripada takhta namun ditolak oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) adalah kerana gagal mematuhi kehendak Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS).

Presiden Badan Peguam Malaysia, Anand Raj berkata,Perkara 10(1) UUTKNS mensyaratkan siasatan menyeluruh dan lengkap oleh para Undang sebelum mereka boleh menggesa pemerintah untuk menarik diri daripada menjalankan fungsi-fungsi baginda atau turun takhta.

Beliau berkata sebarang “siasatan sewajarnya” di bawah Perkara 10 UUTKNS 1959 perlu mematuhi kehendak perlembagaan dan prinsip keadilan asasi.

“Selain kesahihan proklamasi yang didakwa itu dan pengeluarannya (yang menurut AGC adalah tidak sah), tiada rekod semasa yang dikeluarkan untuk membuktikan bahawa siasatan sebegitu pernah dijalankan, atau bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia pernah diberikan peluang untuk menangkis dakwaan terhadap baginda,” katanya dipetik Harapan Daily.

Anand turut berkata, hak untuk didengar adalah prinsip asas keadilan asasi, yang memerlukan seseorang yang didakwa melakukan salah laku mengetahui kes terhadapnya dan diberi peluang yang adil untuk memberi maklum balas sebelum keputusan yang memudaratkan dibuat.

Merujuk kepada keputusan Jawatankuasa Kehakiman Majlis Privy dalam kes ‘B. Surinder Singh Kanda lawan Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu [1962] 1 MLJ 169’, beliau berkata,prinsip itu terpakai kepada semua orang termasuk ketua negara.

“Jika warganegara biasa dilindungi secara perlembagaan daripada pemecatan tidak sah tanpa pendengaran yang adil, Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga berhak mendapat perlindungan serupa,” ujarnya lagi.

Beliau juga berkata, kegagalan mematuhi Perkara 10(1) UUTKNS menjadikan sebarang tindakan bagi menurunkan Tuanku Muhriz daripada takhta adalah tidak sah, sambil menambah mahkamah boleh membatalkan keputusan itu yang dicapai dengan mencabuli prinsip keadilan asasi.

Anand turut mengemukakan beberapa persoalan mengenai pengurusan krisis itu, termasuk tindakan Menteri Besar semasa mengumumkan perkara tersebut pada 16 Sept lepas berdasarkan proklamasi berkenaan meskipun pendahulunya secara terbuka menyifatkannya sebagai tidak sah.

Tambahnya lagi, Menteri Besar itu juga mendakwa telah menandatangani proklamasi tersebut di bawah tekanan dan paksaan seperti yang dinyatakan dalam laporan polis pada 8 Sept lepas.

“Orang ramai berhak mengetahui siapa yang melakukannya, bagaimana dan mengapa ia berlaku serta mengapa beliau hanya membuat laporan polis pada 8 Sept, iaitu kira-kira lima minggu selepas proklamasi yang didakwa itu dikeluarkan,” jelasnya.

Malah menurutnya, penjelasan juga diperlukan berhubung sebab Menteri Besar itu kemudian mengesahkan proklamasi berkenaan.

Anand turut berkata, asas operasi kerajaan negeri juga mungkin memerlukan penjelasan kerana Tuanku Muhriz telah membatalkan pelantikan semua ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri.

Sehubungan itu, Badan Peguam Malaysia turut mengambil maklum kenyataan Majlis Raja-Raja Melayu pada 14 Okt lepas yang menyeru agar sebarang perbezaan pendapat diselesaikan mengikut adat dan undang-undang serta berpandukan peruntukan dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri.

Ingat! Rakyat sentiasa memerhati!

Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=0srIeERhPJI&ra=m

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *