Ahli politik yang tergelincir daripada landasan perjuangan asal merupakan golongan paling banyak mengeluh mengenai cabaran kenaikan kos barangan berbanding peniaga kecil.
Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata, dapatan itu diperoleh menerusi hasil tinjauan di lapangan yang dilakukan.
Beliau berkata, sikap ditunjukkan peniaga kecil itu secara tidak langsung membezakan mereka dengan pengusaha perniagaan besar dan ahli politik.
“Syukur Alhamdulillah. Sebenarnya peniaga kalau di peringkat rendah ini, keluhan dia sangat minimum.
“Yang besar-besar je yang banyak mengeluh dan yang mengeluh paling kuat orang-orang politik yang sudah tergelincir.
“Tapi kalau tengok saya tanya sendiri, kebanyakannya dapat pinjaman RM10,000 pun bersyukur dan ucap terima kasih kepada badan-badan agensi ini,” katanya dipetik Harapan Madani.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Tinjauan Peniaga Kecil di Lapangan di Pasar Tani Taman Melawati pada Sabtu.
Terdahulu, beliau yang juga Ahli Parlimen Tambun itu meluangkan masa kira-kira dua jam menyantuni penjaja dan usahawan kecil di lokasi berkenaan.
Pada 17 Mei lalu, Kerajaan Madani mengumumkan kemudahan pembiayaan mikro berjumlah lebih RM5 bilion bagi tahun 2026, yang dijangka memanfaatkan lebih 400,000 usahawan mikro.
Kemudahan tersebut melibatkan pinjaman sehingga RM100,000 dengan kadar pembiayaan bagi skim tertentu serendah 4 peratus setahun.
Mengulas lanjut, PMX turut berkata, tidak dinafikan masih terdapat segelintir peniaga kecil yang tidak mengetahui dengan jelas bantuan yang ditawarkan kerajaan.
Justeru, beliau yang juga Menteri Kewangan itu mengarahkan agensi terlibat untuk turun padang dan memberikan penjelasan kepada golongan berkenaan.
Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=kMUi8g3ycmk&ra=m
