KUALA LUMPUR — Naib Presiden Parti Amanah Negara, Mahfuz Omar menyelar sikap Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang didakwa tidak konsisten dalam mempertahankan institusi Raja Melayu, selain terus memainkan politik kebencian dan ekstremisme demi kepentingan politik sempit.
Dalam kenyataan media terbaharu, Mahfuz mendakwa kenyataan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Ahmad Yahaya bahawa “Malaysia boleh aman tanpa DAP” memperlihatkan budaya politik permusuhan yang semakin membarah dalam PAS.
Menurut beliau, keamanan negara tidak boleh dibina melalui sentimen kebencian terhadap mana-mana kaum atau parti politik, sebaliknya melalui semangat hormat-menghormati, toleransi dan penerimaan terhadap kepelbagaian masyarakat Malaysia.
“Malaysia tidak akan aman dengan politik menghukum, melabel, membenci dan menakut-nakutkan rakyat. Negara ini aman kerana rakyat pelbagai kaum belajar hidup bersama dalam kerangka Perlembagaan,” katanya.
Mahfuz turut mendakwa PAS sejak sekian lama menggunakan pendekatan politik yang bersifat memecah-belahkan masyarakat termasuk menuduh lawan politik sebagai musuh Islam, memainkan sentimen agama secara melampau dan membina budaya curiga terhadap kaum lain.
Beliau berkata, kenyataan “Malaysia aman tanpa DAP” juga disifatkan berbahaya kerana membawa mesej seolah-olah keamanan hanya boleh dicapai jika kelompok tertentu disingkirkan daripada landskap politik negara.
Dalam masa sama, Mahfuz menempelak PAS yang didakwa bersikap hipokrit dalam isu melibatkan institusi Raja Melayu apabila hanya lantang menuduh pihak lawan sebagai derhaka tetapi berdiam diri apabila kenyataan hampir sama datang daripada pemimpin sendiri.
Katanya, rakyat masih mengingati kenyataan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang yang pernah menyebut bahawa titah Yang di-Pertuan Agong bukan pemutus yang menghalang perubahan dalam sistem demokrasi dan perjalanan politik negara.
“Hari ini PAS menyerang pihak lain atas isu yang sama maknanya. Mengapa PAS tidak mengecam Abdul Hadi Awang? Mengapa tiada himpunan bantahan di depan Istana Negara ketika Presiden PAS mengeluarkan kenyataan tersebut?” soalnya.
Mahfuz berkata, PAS kini dilihat menjadi “juara bermusim” dalam mempertahankan institusi diraja apabila ukuran derhaka berubah mengikut kepentingan politik semasa.
“Bila lawan bercakap, mereka menjerit derhaka. Bila pemimpin sendiri bercakap, mereka mula bercakap soal konteks, tafsiran dan demokrasi,” katanya lagi.
Beliau turut menegaskan bahawa kenyataannya bukan bertujuan mempertahankan mana-mana individu termasuk Tony Pua, sebaliknya menuntut kejujuran dan konsistensi politik dalam isu berkaitan institusi Raja Berperlembagaan.
Mahfuz turut mengingatkan bahawa institusi istana tidak sepatutnya dijadikan alat politik untuk meniup sentimen kebencian dan kemarahan rakyat demi meraih sokongan emosi orang Melayu.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut mengimbas teguran terbuka oleh Sharafuddin Idris Shah terhadap Abdul Hadi pada Februari 2024 berhubung kenyataannya mengenai bidang kuasa mahkamah syariah dan kedudukan Raja-Raja Melayu.
Menurut Mahfuz, teguran tersebut membuktikan bahawa isu melibatkan institusi diraja perlu ditangani secara matang dan berhemah, bukannya dijadikan modal politik untuk menyerang lawan.
“Negara ini aman kerana rakyat matang, bukan kerana ceramah kebencian politik,” tegas beliau.
