KUALA LUMPUR – Penguatkuasaan larangan pembukaan akaun media sosial bagi kanak-kanak bawah 16 tahun di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) dilihat masih berdepan cabaran apabila sebahagian platform media sosial didapati belum melaksanakan pengesahan umur secara menyeluruh.
Tinjauan mendapati pengguna termasuk remaja bawah umur masih boleh membuka akaun baharu tanpa perlu mengemukakan dokumen pengesahan yang ketat, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai keberkesanan pelaksanaan peraturan tersebut.
Pensyarah Kanan Bidang Psikologi Pendidikan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr. Sathish Rao Appalanaidu berkata, kanak-kanak dan remaja bawah 16 tahun masih berada dalam fasa perkembangan kritikal yang memerlukan perlindungan daripada pelbagai risiko dunia digital.
Menurut beliau, golongan itu lebih mudah terdedah kepada tekanan sosial, budaya mengejar populariti di media sosial serta pengaruh algoritma yang direka untuk mengekalkan perhatian pengguna dalam tempoh yang panjang.
“Jika tiada intervensi berkesan dilaksanakan, negara berisiko melahirkan generasi yang mahir teknologi tetapi lemah dari segi daya tahan emosi dan kemahiran sosial,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa penggunaan media sosial tanpa kawalan boleh menyumbang kepada masalah ketagihan digital, kebimbangan melampau, kesukaran mengawal emosi serta ketidakupayaan menerima kritikan atau penolakan.
Sementara itu, Pensyarah dan Pengasas Program Hati Buddy, Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Dr. Jamalsafri Saibon menegaskan bahawa ancaman terhadap kanak-kanak dalam talian semakin membimbangkan.
Katanya, selain risiko buli siber dan penipuan dalam talian, kanak-kanak turut terdedah kepada eksploitasi seksual, kandungan tidak sesuai serta tekanan psikologi yang boleh menjejaskan perkembangan mereka.
Beliau berpandangan bahawa larangan pendaftaran akaun media sosial mengikut had umur merupakan langkah pencegahan yang baik, namun perlu disokong dengan pendidikan literasi digital, pengawasan ibu bapa, peranan sekolah serta komitmen syarikat media sosial.
Kerajaan sebelum ini mengumumkan bahawa kanak-kanak berusia bawah 16 tahun tidak lagi dibenarkan mendaftar akaun media sosial baharu menerusi Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 sebagai usaha memperkukuh perlindungan golongan muda dalam persekitaran digital yang semakin mencabar.
