KUALA LUMPUR – Seramai 472 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam Op Bersepadu Mega di sekitar Lebuh Pudu, di sini, hari ini.
Operasi yang bermula kira-kira pukul 11 pagi itu bertukar kecoh apabila sebahagian warga asing cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa.
Malah, beberapa individu turut bergelut dengan anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam cubaan melepaskan diri.
Dalam operasi itu, beberapa premis perniagaan dan asrama pekerja yang berkunci turut dipecah bagi membolehkan pemeriksaan serta tangkapan dijalankan.
Pemeriksaan lanjut juga menemukan premis di tingkat atas sebuah bangunan yang disyaki dijadikan sarang pelacuran, selain sebuah kedai menjual ubat-ubatan secara haram yang dipercayai dikendalikan warga asing.
Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Datuk Hamsha Injau berkata, seramai 2,500 warga asing diperiksa dalam operasi bersepadu berkenaan.
Menurut beliau, seramai 472 individu ditahan terdiri daripada 439 lelaki dan 33 wanita berusia antara 18 hingga 62 tahun.
“Tangkapan antaranya terdiri daripada warga Bangladesh, India, Myanmar, Nepal, China, Pakistan dan Zimbabwe.
“Antara kesalahan utama dikenal pasti ialah tidak memiliki dokumen pengenalan diri serta tinggal lebih masa,” katanya kepada pemberita selepas operasi itu.
Operasi berkenaan turut membabitkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Kesemua tahanan dibawa ke Depot Imigresen Bukit Jalil untuk tindakan lanjut.
