KUALA LUMPUR – Kuala Lumpur (KL) City FC dikenakan denda RM50,000 oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan diperintah membayar segala ganti rugi serta kos berkaitan susulan kegagalan menurunkan pasukan pada aksi Liga Super menentang Negeri Sembilan FC (NSFC), Sabtu lalu.
Keputusan itu turut menyaksikan NSFC diberikan kemenangan percuma 3-0 serta tiga mata selepas perlawanan yang sepatutnya berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, terpaksa dibatalkan pada saat akhir.
MFL dalam kenyataan hari ini memaklumkan keputusan berkenaan dibuat menerusi Mesyuarat Khas Ahli Lembaga Pengarah selepas meneliti semua dokumen, laporan dan maklumat daripada pihak berkaitan, termasuk laporan perubatan hospital kerajaan bertarikh 24 Ogos yang dikemukakan KL City.
Menurut MFL, semakan menerusi sistem MyPAS mendapati KL City hanya mendaftarkan 12 pemain, terdiri daripada 11 pemain dan seorang penjaga gol, sekali gus gagal memenuhi syarat minimum pendaftaran pemain bagi musim 2026-2027.
MFL berkata, kelab berkenaan sepatutnya mendaftarkan sekurang-kurangnya 20 pemain termasuk tiga penjaga gol sebelum perlawanan pertama Liga Malaysia musim ini, selain memenuhi keperluan Team Selection List.
“KL City jelas melanggar peraturan pertandingan apabila gagal menyediakan pasukan lengkap untuk beraksi menentang NSFC,” menurut kenyataan itu.
MFL turut mendedahkan Unit Pelesenan Kelab dan First Instance Body (FIB) sebelum ini sudah beberapa kali mengingatkan KL City supaya menyelesaikan denda yang dikenakan FIFA sehingga menyebabkan kelab itu menerima Perintah Larangan Pendaftaran Pemain Antarabangsa.
Dalam perkembangan sama, KL City sebelum ini memaklumkan keadaan kesihatan membabitkan 13 pemain dan dua pegawai yang dilaporkan dijangkiti influenza sebagai alasan permohonan pembatalan perlawanan.
Permohonan itu dikemukakan kepada MFL pada jam 12.40 tengah hari Sabtu lalu sebelum badan pengelola Liga M memaklumkan pembatalan perlawanan kepada semua kelab menerusi pekeliling pada hari sama.
NSFC kemudian mengemukakan surat bantahan kepada MFL dan memohon semakan menyeluruh dibuat berdasarkan peraturan pertandingan Liga Malaysia.
Dengan keputusan terbaharu itu, NSFC kini memperoleh tiga mata tanpa perlu turun beraksi, manakala KL City perlu menanggung hukuman kewangan selain kesan terhadap kedudukan mereka dalam saingan Liga Super.
