ALOR SETAR – Orang ramai dinasihatkan mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengurangkan aktiviti luar rumah susulan keadaan jerebu yang melanda beberapa kawasan ketika ini.
Pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Madya Dr Kamarul Azman Khamis berkata, orang ramai khususnya golongan berisiko perlu mengehadkan pendedahan kepada udara tercemar bagi mengurangkan risiko terhadap kesihatan.
Menurutnya, antara langkah yang boleh diamalkan ialah mengurangkan aktiviti di luar rumah, memakai pelitup separuh muka sekiranya perlu keluar serta memastikan pengambilan air yang mencukupi.
“Cuaca tidak menentu dengan ada ketika panas, hujan dan jerebu. Justeru, digalakkan sentiasa berada di dalam rumah, kurangkan aktiviti luar rumah, kurangkan pergerakan sosial buat anak-anak serta banyak minum air kerana ini sumber tenaga.
“Sekiranya perlu keluar rumah, pastikan memakai pelitup separuh muka,” katanya.
Sementara itu, penduduk Kampung Lubuk Merbau, Pedu turut mengambil langkah berjaga-jaga ketika menjalankan aktiviti luar berikutan keadaan jerebu yang menyebabkan jarak penglihatan berkurangan.
Penduduk, Yazzah Saad berkata, keadaan udara terutama pada waktu tertentu menyebabkan penglihatan menjadi kurang jelas selain menimbulkan rasa pedih pada mata.
“Keadaan jalan di kawasan ini memang nampak kabus tebal sikit menyebabkan penglihatan tidak berapa jelas dan mata jadi pedih.
“Jadi, kena pakai pelitup separuh muka ketika melakukan aktiviti luar demi kesihatan,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Mohd Nizam Wahab menyeru masyarakat setempat supaya lebih prihatin terhadap keadaan kualiti udara dan mengambil langkah sewajarnya bagi menjaga kesihatan.
“Pesanan buat seluruh warga kampung ini agar semua dapat menjaga kesihatan memandangkan cuaca agak berjerebu pada waktu pagi.
“Keadaan udara ini tidak baik untuk kesihatan kita. Semoga kita semua lebih prihatin dan berhati-hati,” katanya.
Orang ramai juga disaran mendapatkan maklumat terkini mengenai kualiti udara di kawasan masing-masing serta mengehadkan aktiviti luar sekiranya keadaan jerebu semakin buruk.
