ASAP TEBAL GEGARKAN SHAH ALAM, HUTAN BUKIT TERBAKAR

SHAH ALAM – Kebakaran hutan bukit seluas kira-kira 2.8 hektar berhampiran Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Seksyen 14, di sini berjaya dikawal daripada merebak.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.01 tengah hari sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam tiba di lokasi kira-kira empat minit kemudian.

Menurutnya, kebakaran melibatkan kawasan hutan bukit berhampiran ibu pejabat Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Masjid Negeri, namun tidak melibatkan sebarang struktur bangunan.

“Tiada kemalangan jiwa atau mangsa dilaporkan dalam kejadian ini.

“Setakat 8.30 malam, kira-kira 60 peratus kawasan terbakar berjaya dipadamkan dan operasi masih diteruskan secara berperingkat,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, seramai 10 anggota dan pegawai bomba terlibat dalam operasi pemadaman dengan menggunakan fire beater, pam air jentera serta sumber air daripada pili bomba milik MAIS dan lori tangki air.

Katanya, pasukan bomba turut melaksanakan fire break bagi menghalang api daripada merebak ke kawasan lain, selain memadam beberapa spot api yang masih terdapat di lokasi.

Kebakaran berkenaan turut menyebabkan kepulan asap jelas kelihatan dari beberapa kawasan sekitar Shah Alam, namun keadaan dilaporkan terkawal dan tiada bangunan berhampiran terjejas.

Operasi pemadaman masih diteruskan oleh pasukan keluaran BBP Shah Alam bagi memastikan keseluruhan kawasan terbakar dipadamkan sepenuhnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *