JAKARTA – Sebuah kereta elektrik (EV) yang diubah suai dengan pemasangan panel solar pada bahagian belakang kenderaan mencuri perhatian pengguna media sosial selepas rakaman video memaparkan ia dipandu di jalan raya di Indonesia tular sejak kebelakangan ini.
Kejadian itu dipercayai berlaku di wilayah Sumatera Utara berdasarkan nombor pendaftaran kenderaan berawalan “BK” serta papan tanda jalan yang menghala ke laluan Medan–Binjai.
Panel solar yang dipasang dipercayai berfungsi menyalurkan tenaga bagi membantu mengecas bateri kenderaan ketika ia bergerak, sekali gus berpotensi memanjangkan jarak perjalanan dan mengurangkan kebergantungan kepada stesen pengecas.
Walaupun kapasiti tenaga yang dijana panel solar pada sesebuah kereta lazimnya tidak mencukupi untuk mengecas bateri sepenuhnya, teknologi itu mampu menyumbang kepada bekalan kuasa bagi sistem tertentu serta meningkatkan kecekapan penggunaan tenaga dalam keadaan cuaca yang sesuai.
Rakaman tersebut mengundang pelbagai reaksi positif dalam kalangan pengguna media sosial yang menyifatkan inovasi itu sebagai satu idea kreatif dan praktikal dalam usaha memperluaskan penggunaan teknologi hijau.
Rata-rata warganet berharap lebih banyak inovasi seumpamanya dapat dibangunkan pada masa depan bagi mempercepatkan perkembangan industri kenderaan elektrik, selain mengurangkan pelepasan karbon dan kebergantungan terhadap bahan api fosil.
Selain menarik perhatian orang ramai, inovasi itu turut mencetuskan perbincangan mengenai potensi penggunaan panel solar sebagai sumber tenaga tambahan bagi kenderaan elektrik, khususnya di negara beriklim tropika seperti Indonesia yang menerima cahaya matahari hampir sepanjang tahun.
Bagaimanapun, pakar automotif sebelum ini menjelaskan bahawa panel solar pada kenderaan lebih sesuai berfungsi sebagai sistem sokongan untuk menambah sedikit tenaga kepada bateri atau membekalkan kuasa kepada aksesori tertentu, dan bukan sebagai pengganti utama kepada proses pengecasan menggunakan stesen pengecas konvensional.
