WASHINGTON – Pusat jisim planet Bumi sentiasa mengalami pergerakan mengikut perubahan musim, dengan perubahan beban air, ais dan atmosfera menyebabkan kedudukannya berganjak beberapa milimeter.
Sekumpulan saintis NASA mendapati fenomena itu berlaku akibat perubahan semula jadi seperti pembekuan ketika musim sejuk, pencairan ais pada musim bunga, pergerakan lautan serta perubahan tekanan atmosfera.
Menurut kajian yang diterbitkan dalam Geophysical Journal International, pusat jisim Bumi boleh berayun mengelilingi pusat geometri planet berikutan perubahan taburan jisim di permukaan dan kerak Bumi.
Penulis bersama kajian, Felix Landerer dari Makmal Penggerak Jet NASA berkata, walaupun pergerakan tersebut kecil, ia penting kerana sistem moden bergantung kepada ukuran kedudukan yang amat tepat.
“Dengan mengenal pasti dan memahami mekanisme yang mengubah sistem rujukan, kita boleh membangunkan sistem rujukan lebih baik, sekali gus memberi manfaat kepada pemetaan serta navigasi,” katanya.
Dalam kajian itu, penulis utama Donald Argus dan pasukannya membangunkan teknik baharu bagi mengesan pergerakan pusat jisim Bumi menggunakan data penjejakan satelit berketepatan tinggi.
Penyelidik menggabungkan data Sistem Kedudukan Sejagat (GPS) dengan data orbit beberapa satelit lain di orbit rendah Bumi bagi mendapatkan ukuran yang lebih tepat.
Kaedah tersebut turut mengambil kira perubahan bentuk kerak Bumi akibat beban air dan ais serta kesannya terhadap stesen pemantauan di permukaan planet.
Saintis mendapati pusat jisim Bumi berayun mengikut musim, dipercayai dipengaruhi perubahan taburan air di lautan, atmosfera dan daratan benua.
Walaupun pergerakan hanya pada skala beberapa milimeter, ketepatan mengesannya penting bagi sistem navigasi, pemetaan dan pelbagai aplikasi yang memerlukan penentududukan berpresisi tinggi.
Penemuan itu memberikan gambaran lebih jelas mengenai bagaimana sistem Bumi sentiasa berubah akibat pergerakan dan pengagihan semula jisim di permukaannya.
