Perdana Menteri mengumumkan sumbangan Kerajaan MADANI berjumlah RM2 juta kepada Institut Pemikiran Al-Qaradawi bagi mendukung pengembangan dan memperkukuh penyelidikan berkaitan sumbangan Syeikh Dr Yusuf Al-Qaradawi.
Dato’ Seri Anwar Ibrahim membuat pengumuman berkenaan ketika berucap pada majlis perasmian Seminar Pemikiran Yusuf Al-Qaradawi dan Institut Pemikiran Al-Qaradawi di Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur pada Selasa.
“Sudah pasti secara peribadi saya amat terhutang budi kepada Al-Qaradawi sama ada dari segi idea pemikiran, dukungan moral dan persahabatan yang dibina atas asas keikhlasan.
“Semoga ikhtiar seperti ini akan mendapat barakah, membawa manfaat dan mencerahkan umat,” katanya dipetik Harapan Madani.
PMX turut menyingkap kembali kisah awal interaksi serta kerjasama beliau dengan tokoh ilmuwan Islam itu ketika aktif bersama Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).
Beliau berkata Al-Qaradawi disifatkan sebagai pencetus perubahan atau “zeitgeist”, penggerak atau semangat zaman yang menzahirkan keterbukaan dalam pemikiran dan pendamba pembaharuan dalam menghadapi cabaran kontemporari.
“Sewaktu meningkatnya semangat kebangkitan Islam pada sekitar awal 80-an, Al-Qaradawi menghantar satu risalah kepada pimpinan ABIM yang menegaskan agar ABIM mengambil jarak dari aliran keras dan kekalkan wasatiyah atau kesederhanaan.
Nasihat ini bagi saya amat penting sewaktu meningkatnya semangat dan aliran pemikiran yang tidak terbuka menerima pandangan yang berbeda pada ketika itu,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, gagasan ‘Masyarakat MADANI’ yang diangkat kerajaan hari ini merupakan penterjemahan kerangka pemikiran tokoh ulama kontemporari terkemuka, Allahyarham Sheikh Dr. Yusuf Al-Qaradawi yang menggabungkan aspek kemasyarakatan dengan teras akhlak dan etika Islam.
Perdana Menteri berkata, pencetus istilah itu bermula pada akhir tahun 1990-an bagi menggantikan konsep Civil Society Barat yang memfokuskan kepada persatuan tanpa menyuntik nilai moral serta ketauhidan yang murni.
Menurut beliau, gagasan itu dimuktamadkan selepas beliau mengadakan perbincangan dan memohon pandangan daripada Sheikh Yusuf Al-Qaradawi serta tokoh ulama, Sheikh Taha Jabir al-Alwani yang mencadangkan penggunaan istilah Al-Mujtama’ Al-MADANI.
“Terminologi ‘Masyarakat MADANI’ ini lebih selamat dan menyeluruh kerana ia bukan sahaja merangkumi ciri-ciri sivil tetapi mempunyai teras Islam, moral, akhlak dan etika yang kukuh.
“Karya Fiqh Daulah tulisan Sheikh Qaradawi merumuskan ratusan hasil penulisan beliau yang sangat relevan dengan realiti semasa.
“Ia bukan sekadar teokrasi atau teodemokrasi lampau tetapi kenyataan masyarakat hari ini,” jelasnya.
Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=vpRM0joGQI8&ra=m
