SHAH ALAM – Tular di media sosial petang tadi rakaman video memaparkan seekor buaya dipercayai muncul di kawasan sungai berhampiran Seksyen 23, Shah Alam sehingga mencetuskan kebimbangan penduduk setempat.
Rakaman yang dimuat naik oleh pengguna media sosial dikenali sebagai @Zaqtona menunjukkan kelibat reptilia itu sedang berada di kawasan sungai, dipercayai dirakam dari atas sebuah jambatan.
“Jumpa buaya dekat Shah Alam Seksyen 23,” tulisnya ringkas pada hantaran tersebut.
Perkongsian itu pantas mendapat perhatian warga maya dengan ramai meluahkan kebimbangan terhadap keselamatan penduduk, khususnya ketika musim hujan yang berpotensi menyebabkan paras air sungai meningkat.
Sebahagian pengguna turut menggesa orang ramai supaya mengelakkan aktiviti berhampiran sungai sehingga pihak berkuasa membuat pemantauan, manakala ada yang berseloroh mengenai kemunculan reptilia berkenaan.
Setakat ini, belum ada kenyataan rasmi daripada pihak berkuasa mengenai penemuan buaya tersebut atau sebarang operasi menangkap haiwan itu. Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menghampiri kawasan berkenaan serta segera melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya ternampak kelibat buaya bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
Pakar hidupan liar menjelaskan kemunculan buaya di kawasan berhampiran penempatan bukan sesuatu yang mustahil, terutama ketika musim hujan apabila paras air sungai meningkat dan arus deras menyebabkan reptilia itu bergerak ke kawasan baharu. Keadaan itu memerlukan orang ramai supaya lebih berwaspada, khususnya mereka yang tinggal berhampiran sungai atau sering melakukan aktiviti rekreasi di kawasan berkenaan.
Dalam masa sama, penduduk diminta tidak mengambil tindakan sendiri sekiranya terserempak dengan buaya kerana ia boleh mengundang risiko kepada keselamatan. Sebaliknya, orang ramai disaran menghubungi pihak berkuasa seperti Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) atau pihak bomba bagi membolehkan tindakan pemantauan dan penangkapan dilakukan mengikut prosedur yang ditetapkan.
