NENEK TIRI DIDAKWA BUNUH BAYI 16 BULAN

KOTA TINGGI – Seorang wanita yang juga nenek tiri didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh cucu tirinya yang berusia 16 bulan, hujung bulan lalu.

Tertuduh, Nurul Farhana Laili Shah, 39, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Hafizah Abdul Rajak.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh Nur Anggun Dahlia Abdullah di sebuah rumah di Taman Sri Saujana, Kota Tinggi, antara pukul 12.30 tengah hari pada 30 Julai hingga 9.30 pagi, 31 Julai lalu.

Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman mati atau penjara sehingga 40 tahun jika sabit kesalahan, dengan sebatan bagi hukuman penjara tertakluk kepada peruntukan undang-undang.

Timbalan Pendakwa Raya, Nor Afiqah Musa memohon satu tarikh ditetapkan bagi menunggu laporan kimia, bedah siasat dan ujian DNA, selain memaklumkan tiada jaminan ditawarkan bagi kes berkenaan.

Mahkamah kemudian menetapkan 11 Disember ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan berkaitan.

Tertuduh diwakili peguam Lidyana Mansor dan Farah Yasmin.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad sebelum ini memaklumkan tiga individu termasuk ibu mangsa, nenek tiri dan datuk mangsa ditahan bagi membantu siasatan, namun dua daripadanya kemudian dibebaskan untuk dijadikan saksi pendakwaan.

Bedah siasat mendapati punca kematian bayi berkenaan disebabkan trauma daya tumpul pada bahagian dada dan abdomen, selain terdapat kesan luka serta lebam yang dipercayai berkaitan dengan penganiayaan fizikal.

Kes dikendalikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi melengkapkan semua laporan serta bukti berkaitan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *