PUTRAJAYA – Harga runcit petrol RON97, RON95 tanpa subsidi dan diesel tanpa subsidi masing-masing meningkat lima sen seliter bagi tempoh 27 Ogos hingga 2 September ini.
Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan hari ini memaklumkan harga RON97 ditetapkan pada RM4.30 seliter berbanding RM4.25 sebelum ini, manakala RON95 tanpa subsidi naik daripada RM3.77 kepada RM3.82 seliter.
Harga diesel tanpa subsidi pula meningkat daripada RM4.67 kepada RM4.72 seliter.
Bagaimanapun, harga bahan api bersubsidi kekal tidak berubah, dengan RON95 di bawah BUDI Madani RON95 (BUDI95) pada RM1.99 seliter dan diesel di bawah BUDI Madani Diesel (BUDI Diesel) pada RM2.10 seliter.
Harga bagi Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) dan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) turut kekal masing-masing pada RM2.05 dan RM2.15 seliter.
MOF berkata, kenaikan harga itu dipengaruhi ketidaktentuan geopolitik global yang berlarutan, termasuk sekatan trafik di Selat Hormuz yang terus mengekang bekalan minyak dunia.
Menurutnya, sepanjang sebahagian besar tempoh pengiraan Mekanisme Harga Automatik (APM), harga minyak mentah Brent kekal melebihi AS$90 setong.
“Selepas 179 hari konflik antara Amerika Syarikat, Israel dan Iran, sekitar 290 juta daripada 400 juta tong minyak yang dipersetujui untuk dilepaskan daripada simpanan kecemasan negara anggota Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) telah disalurkan ke pasaran setakat Julai 2026,” katanya.
MOF menjelaskan penyusutan penampan bekalan berkenaan meningkatkan risiko tekanan harga sekiranya gangguan bekalan berterusan, selain gangguan kapasiti penapisan di Asia Barat dan Rusia yang mengurangkan bekalan produk petroleum bertapis.
Keadaan itu, katanya, memberi tekanan lebih ketara terhadap harga diesel berbanding petrol berikutan pasaran diesel global yang semakin ketat.
Walaupun harga minyak mentah dunia menurun pada penghujung tempoh pengiraan APM, penurunan itu belum mencukupi untuk mengimbangi paras harga lebih tinggi yang direkodkan sepanjang sebahagian besar minggu sebelumnya.
Kerajaan turut memberi jaminan akan terus melindungi rakyat dan sektor perniagaan daripada kesan kenaikan harga petroleum global, termasuk mengekalkan subsidi bersasar kepada pengguna yang layak.
Bagi BUDI95, kerajaan menanggung subsidi RM1.83 seliter, manakala subsidi BUDI Diesel berjumlah RM2.62 seliter bagi setiap liter yang layak.
