PETALING JAYA – Johor Darul Ta’zim (JDT) meraih kemenangan sulung dalam kempen Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) selepas menewaskan kelab Korea Selatan, Pohang Steelers 2-0 di Stadium Steelyard, hari ini.

Penyerang import, Marcos Guilherme muncul wira Harimau Selatan apabila meledak dua gol pada babak kedua untuk memastikan skuad kendalian Xisco Munoz membawa pulang tiga mata berharga.

Kemenangan itu turut dibantu kelebihan jumlah pemain selepas kapten Pohang, Jeon Min-gwang dilayangkan kad merah susulan semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) pada penghujung babak pertama.

JDT memanfaatkan kelebihan tersebut apabila Guilherme membuka tirai jaringan pada minit ke-49 menerusi penyudah kemas selepas menerima hantaran lorongan Shahab Zahedi.

Gol berkenaan menyuntik semangat skuad Harimau Selatan untuk meningkatkan tekanan, namun Pohang yang juga bekas juara Asia tetap memberikan tentangan sengit dan beberapa kali mengancam kubu pelawat.

Penjaga gol JDT, Ahmad Syihan Hazmi turut memainkan peranan penting apabila berjaya menafikan percubaan Juninho pada minit ke-75 bagi memastikan kelebihan pasukannya kekal terpelihara.

Guilherme kemudian melengkapkan kemenangan JDT pada minit ke-89 apabila pantas menyambar bola muntah hasil percubaan Bergson untuk menewaskan penjaga gol Pohang, Hong Seong-min buat kali kedua.

Keputusan 2-0 kekal sehingga wisel penamat, sekali gus membolehkan JDT mengutip empat mata daripada dua perlawanan dalam saingan peringkat liga Zon Timur.

Kemenangan itu menjadi suntikan keyakinan buat JDT untuk meneruskan cabaran di pentas tertinggi bola sepak kelab Asia, selain membuktikan keupayaan Harimau Selatan bersaing dengan pasukan berpengalaman di rantau ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *