PUCHONG – Polis mengesahkan ancaman bom yang diterima di sebuah hospital swasta di Bandar Puteri, Puchong petang tadi adalah palsu selepas pemeriksaan menyeluruh tidak menemui sebarang bahan letupan atau objek mencurigakan.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad berkata, Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang menerima panggilan daripada seorang lelaki pada kira-kira jam 2.54 petang yang memaklumkan mengenai ancaman bom di hospital berkenaan.
Susulan laporan itu, Unit Pemusnah Bom (UPB) bersama Pasukan Anjing Pengesan (K9) segera digerakkan ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan di bahagian dalam dan luar bangunan hospital. Hasil pemeriksaan mendapati tiada sebarang bahan letupan atau objek mencurigakan ditemui.
Beliau berkata, Pasukan Forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor turut berada di lokasi bagi membantu siasatan serta mengumpul bukti bagi mengenal pasti individu yang bertanggungjawab membuat ancaman berkenaan.
Menurutnya, kejadian itu tidak menjejaskan keselamatan pesakit, kakitangan mahupun orang awam selepas pihak polis mengesahkan keadaan hospital berada dalam keadaan selamat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah melalui komunikasi tanpa nama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, sebagai tambahan kepada hukuman di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan jika disabitkan kesalahan.
Muhamad Farid turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat yang tidak disahkan atau membuat sebarang spekulasi yang boleh mencetuskan kegusaran awam.
Beliau meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya menghubungi IPD Serdang di talian 03-8074 2222 atau tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
