Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Pandan menegaskan perjuangan reformasi Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan terus diperkukuhkan meskipun beberapa pimpinan cabang dijangka meninggalkan parti dalam masa terdekat.
Ketua AMK Cabang Pandan, Mohd Ifwat Amir Hamirudin berkata, pihaknya mengambil maklum kemungkinan terdapat beberapa pimpinan AMK Cabang yang akan mengambil keputusan meninggalkan parti susulan perkembangan politik semasa.
Bagaimanapun menurut beliau, setiap keputusan individu adalah tanggungjawab masing-masing dan tidak akan menjejaskan kekuatan asas perjuangan parti yang dibina sejak sekian lama.
Perubahan dalam organisasi adalah perkara biasa dalam mana-mana parti politik dan tidak menjejaskan kekuatan asas parti yang dibina atas komitmen anggota serta sokongan rakyat.
Perjuangan reformasi tidak akan terhenti hanya kerana tindakan mana-mana pihak,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan beberapa pemimpin PKR termasuk bekas Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli dan bekas Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad yang mengumumkan keluar parti minggu lalu.
Kedua-dua Ahli Parlimen itu turut mengumumkan peletakan jawatan masing-masing sebelum mengambil alih sebuah parti politik baharu dikenali sebagai Parti Bersama Malaysia bagi meneruskan hala tuju politik mereka.
Susulan perkembangan tersebut, beberapa ahli akar umbi dan pimpinan cabang dilaporkan turut mengambil langkah sama dengan meninggalkan PKR untuk menyertai parti baharu berkenaan.
Mengulas lanjut, Ifwat berkata gerak kerja parti di Pandan tetap berjalan seperti biasa dengan fokus utama memperkukuh organisasi serta terus menyantuni rakyat di peringkat akar umbi.
Katanya, AMK Pandan juga kekal komited mempertahankan kerusi Parlimen Pandan serta memperkukuh parti selaras dengan saranan Presiden PKR, Anwar Ibrahim.
Beliau turut menegaskan bahawa kekuatan sesebuah parti politik tidak hanya bergantung kepada individu tertentu, sebaliknya ditentukan oleh keutuhan perjuangan, kesetiaan anggota dan keyakinan rakyat terhadap agenda yang dibawa.
Menurutnya, cabaran serta perubahan dalam landskap politik semasa perlu dihadapi secara matang dan tidak seharusnya melemahkan semangat anggota parti untuk terus memperjuangkan agenda reformasi yang telah menjadi teras perjuangan PKR sejak penubuhannya.
Video Terkini: https://m.youtube.com/watch?v=Asn12Mq1Vt0&ra=m
