SHAH ALAM, 25 Julai – Konvensyen Undang-Undang Wanita dan Keluarga berjaya menghimpunkan pelbagai pihak bagi meningkatkan kesedaran masyarakat khususnya golongan wanita mengenai hak, perlindungan serta aspek perundangan berkaitan institusi keluarga.
Program yang berlangsung di Dewan Telipuk, Seksyen 23 itu dianjurkan oleh Pusat Wanita Berdaya (PWB) DUN Batu Tiga dengan kerjasama PWB Pandamaran, PWB Dun Sungai Kandis, PWB Dun Kota Kemuning, PWB Dun Kota Anggerik, PWB Dun Sentosa juga Kanun dan Jabatan Pembangunan Wanita serta menampilkan barisan penceramah berpengalaman dalam bidang perundangan, kebajikan dan kehakiman syariah
Konvensyen dimulakan dengan bacaan doa sebelum semua hadirin menyanyikan lagu Negaraku dan Lagu Selangor sebagai simbol semangat patriotisme serta jati diri negeri.
Peguam Kanun, Zulsyahmi Husaini, membuka sesi perkongsian dengan mengupas hak wanita dan keluarga dari sudut perundangan, termasuk aspek perlindungan hak, tanggungjawab serta saluran undang-undang yang boleh dimanfaatkan sekiranya berdepan isu rumah tangga atau keganasan.
Sesi seterusnya disampaikan oleh wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang menerangkan mekanisme perlindungan keselamatan, bantuan kebajikan serta tindakan segera yang boleh diambil oleh mangsa keganasan rumah tangga dan individu memerlukan.
Turut mencuri perhatian ialah perkongsian inspirasi oleh Ketua Hakim Syarie Wanita Selangor, Yang Amat Arif Nenney Shuhaidah, yang berkongsi pengalaman mengendalikan pelbagai kes syariah serta menekankan kepentingan ilmu, integriti dan keadilan dalam memperkasakan institusi keluarga.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Tiga, YB Danial Al-Rashid, dalam ucapan aluannya berkata, penganjuran konvensyen seumpama itu menjadi platform penting untuk memperkukuhkan kefahaman masyarakat terhadap hak wanita, selain menggalakkan lebih ramai mendapatkan maklumat yang sahih berkaitan undang-undang keluarga.
Sementara itu, Puan Faridah dan Puan Nurul Faezah Jasni turut menyampaikan ucapan yang menekankan peranan Pusat Wanita Berdaya dalam memperluaskan akses kepada pendidikan undang-undang, pembangunan kemahiran dan sokongan kepada wanita di peringkat komuniti.
Penganjuran konvensyen itu diharap dapat melahirkan masyarakat yang lebih cakna terhadap hak dan tanggungjawab dalam institusi keluarga, sekali gus memperkukuh jaringan sokongan bagi mewujudkan komuniti yang lebih selamat, harmoni dan sejahtera.
