Lembaga Tabung Haji (TH) akan menyusun semula giliran menunaikan ibadah haji secara sistematik dan automatik mulai 1 Januari 2029.
Ia berdasarkan tarikh pendaftaran serta pencapaian simpanan minimum RM15,000.
Pendekatan itu diperkenalkan menerusi Pelan Persediaan Haji – Seruan Istito’ah bagi memperkemas sistem kelayakan haji.
Di samping memastikan pengurusan giliran lebih telus, adil dan mampan.
TH berkata, sistem baharu berkenaan akan menggantikan proses pendaftaran serta pengurusan giliran sedia ada.
Namun prinsip siapa dahulu, didahulukan (First-Come, First-Served) kekal menjadi asas.
Menurutnya lagi, pendeposit yang mencapai baki simpanan RM15,000 akan layak secara automatik untuk berada dalam giliran haji.
Manakala pendeposit yang telah berdaftar diberi tempoh sehingga 31 Disember 2028 untuk mencapai jumlah minimum berkenaan.
Bermula 1 Januari 2029, giliran haji akan disusun semula berdasarkan tarikh pendaftaran serta pencapaian baki simpanan minimum RM15,000.
“Pendekatan ini bertujuan mewujudkan proses pengurusan giliran haji yang lebih mudah, adil dan lancar.
“Selain mengiktiraf usaha pendeposit yang membuat persediaan secara konsisten,” katanya dalam kenyataan rasmi di Facebook.
Langkah tersebut turut dilihat selari dengan syor Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi memperkukuh tadbir urus TH.
Khususnya dalam memastikan pengurusan giliran haji dilaksanakan secara lebih telus dan mampan.
TH juga berkata, keperluan baki simpanan minimum RM15,000 yang diperkenalkan pada 2025 sebagai syarat menerima surat tawaran haji turut menunjukkan perkembangan positif.
Terutamanya apabila kadar penangguhan berjaya dikurangkan kepada 18 peratus berbanding purata hampir 50 peratus sebelum ini.
Dalam pada itu, TH akan memperkenalkan kemudahan Multi-Tabung yang membolehkan pendeposit mempunyai Tabung Am dan Tabung Istito’ah dalam satu akaun bagi memudahkan perancangan simpanan.
Tabung Istito’ah yang akan diperkenalkan mulai 19 September ini pula memberi ruang kepada pendeposit membuat simpanan secara sukarela, berdisiplin dan berfokus sebagai persediaan menunaikan haji.
Pengerusi TH, Tan Sri Abdul Rashid Hussain berkata, pelan itu mengambil kira maklum balas pendeposit yang mahukan garis panduan lebih jelas serta laluan persediaan yang lebih tersusun.
Malah katanya, inisiatif berkenaan bukan sahaja memberi penekanan kepada kemampuan kewangan.
Malah membantu umat Islam membuat persediaan fizikal dan rohani bagi merealisasikan hasrat menunaikan ibadah haji.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad berkata, Seruan Istito’ah bertujuan mengenal pasti pendeposit yang benar-benar bersedia.
Di samping menggalakkan mereka yang belum mencapai tahap berkenaan supaya memulakan perancangan lebih awal.
Langkah berkenaan dijangka memberi kesan kepada perancangan kewangan umat Islam.
Khususnya pendeposit yang mahu memastikan kelayakan dan persediaan menunaikan haji dapat dicapai secara lebih teratur menjelang pelaksanaan sistem baharu pada 2029.
Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=FyLb2_mrhAE&ra=m
