HARIMAU MALAYA BELASAH SINGAPURA 6-0, GAGAL KE FINAL

PETALING JAYA – Harimau Malaya menutup kempen Kumpulan A Piala ASEAN FIFA 2026 dengan kemenangan bergaya 6-0 ke atas Singapura, namun keputusan itu masih belum cukup untuk membawa Malaysia ke pentas final.

Malaysia mengumpul jumlah mata yang sama dengan Indonesia, tetapi terpaksa berpuas hati di tempat kedua selepas skuad Garuda mencatat kemenangan lebih besar, 9-2 ke atas Bangladesh di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta.

Dalam aksi di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung, Bergson da Silva membuka tirai jaringan Malaysia pada minit kelapan menerusi sepakan penalti selepas Fergus Tierney dijatuhkan Ryhan Stewart dalam kotak penalti.

Stuart Wilkin kemudian menggandakan kelebihan pada minit ke-26 selepas menyudahkan hantaran Manuel Hidalgo untuk menjadikan kedudukan 2-0.

Bergson sekali lagi mencetak nama sebagai penjaring menerusi jaringan keduanya selepas menyudahkan hantaran Arif Aiman Hanapi, sekali gus memberikan Malaysia kelebihan selesa sebelum tamat babak pertama.

Pada babak kedua, Paulo Josue yang dimasukkan sebagai pemain gantian menambah gol keempat Malaysia, sebelum Syahir Bashah meledak gol kelima pada minit ke-87.

Bergson melengkapkan hatrik pada masa kecederaan untuk memastikan Harimau Malaya menamatkan aksi dengan kemenangan 6-0.

Namun, keputusan besar Indonesia ke atas Bangladesh menyaksikan Malaysia kekal di belakang skuad Garuda menerusi kelebihan jaringan, sekali gus terlepas peluang beraksi di final.

Ketua jurulatih interim Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mengakui kecewa dengan kegagalan pasukannya mara ke final meskipun berjaya mencatat kemenangan besar dalam aksi terakhir kumpulan.

Malaysia kini perlu mengalihkan fokus kepada penentuan tempat ketiga, manakala Indonesia akan berdepan Thailand pada aksi final Isnin ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *