MUFTI TEGUR PENIPUAN TIMBANGAN KORBAN

GEORGE TOWN – Penganjur dan pengurus program korban sempena Hari Raya Aidiladha diingatkan supaya menjaga amanah serta mengelakkan sebarang bentuk penipuan timbangan daging yang boleh mencemarkan kesucian ibadah korban.

Mufti Pulau Pinang, Mohd Sukki Othman berkata, perbuatan memanipulasi timbangan, mengurangkan bahagian peserta atau menyeleweng agihan korban merupakan dosa besar kerana melibatkan pengkhianatan amanah dan mengambil hak orang lain secara batil.

Menurut beliau, ibadah korban bukan sekadar proses penyembelihan dan pengagihan daging, sebaliknya menuntut kejujuran, integriti dan tanggungjawab daripada semua pihak yang terlibat dalam pengurusan korban.

“Jika berlaku manipulasi timbangan atau pengurangan bahagian peserta, maka ia bukan lagi isu kecil, bahkan boleh mencemarkan kesucian ibadah korban yang dilakukan atas dasar ketaatan kepada Allah,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa setiap peserta korban menyerahkan amanah dan kepercayaan kepada pihak pengurusan untuk mengendalikan ibadah tersebut dengan telus serta adil.

Sehubungan itu, pihak penganjur disaran memastikan proses timbang, pembahagian dan agihan dilakukan secara terbuka serta mematuhi syarak bagi mengelakkan pertikaian dalam kalangan peserta dan penerima.

Dalam masa sama, orang ramai juga dinasihatkan memilih penganjur korban yang dipercayai dan mempunyai rekod pengurusan baik supaya ibadah korban dapat dilaksanakan dengan sempurna serta menepati tuntutan agama.

Teguran itu hadir ketika umat Islam sedang membuat persiapan akhir menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha tidak lama lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *