DANISH, IZZATUL KEKAL RAJA DAN RATU PECUT

SERDANG – Pelari Johor, Danish Iftikhar Muhammad Roslee dan atlet Terengganu, Izzatul Musfirah Ahmad Kamal Azira terus mengukuhkan status sebagai Raja dan Ratu Pecut Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 selepas masing-masing meraih emas acara 100 meter (m) lelaki dan wanita di Stadium Olahraga Universiti Putra Malaysia (UPM), hari ini.

Danish, 21, menepati ramalan apabila mempertahankan gelaran yang dimenanginya pada SUKMA Sarawak 2024 selepas mencatat masa 10.27 saat (s), sekali gus merekodkan catatan terbaik musim ini.

Atlet Kedah, Muhammad Umaira Subri meraih perak dengan 10.31s, manakala rakan sepasukan Danish, Muhammad Dzul Danish Jamari melengkapkan podium dengan gangsa menerusi catatan 10.37s.

Kejayaan itu menyaksikan Danish mempertahankan gelaran Raja Pecut SUKMA buat kali kedua berturut-turut, selain membuktikan konsistensinya sebagai antara pelari muda terbaik negara.

“SUKMA kali ini banyak tekanan, tetapi Alhamdulillah saya berjaya mengawalnya. Saya sangat bersyukur dan berterima kasih kepada keluarga, kawan-kawan serta UPSI yang banyak membantu saya,” katanya.

Danish turut mengakui masih menyimpan impian untuk memecahkan rekod SUKMA milik Khairul Hafiz Jantan, iaitu 10.18s yang dicatat pada edisi 2016.

“Saya memang sasarkan rekod itu sebelum tamat umur 21 tahun dan masih ada satu lagi SUKMA. Insya-Allah, jika diberi peluang dan kemudahan, saya akan cuba buat yang terbaik,” katanya.

Dalam saingan wanita, Izzatul Musfirah menebus kekecewaan meraih perak pada SUKMA 2024 apabila tampil cemerlang untuk merangkul emas dengan catatan 11.73s.

Pelari Terengganu itu menewaskan atlet Selangor, Lim Mei Yin yang meraih perak dengan 11.96s, manakala Alvinia Aivie Jackly dari Sarawak membawa pulang gangsa selepas mencatat 12.07s.

Izzatul berkata kejayaan itu cukup bermakna selepas melalui pelbagai cabaran termasuk kecederaan sebelum kembali mencipta kejayaan di pentas SUKMA.

“Walaupun perjalanan sebelum ini ada jatuh bangun, hitam putih, pahit manis semuanya, saya bangga dengan pencapaian hari ini,” katanya.

Danish kini berpeluang menambah dua lagi emas menerusi acara 200m dan 4x100m, manakala kejayaan Izzatul pula mengukuhkan reputasinya sebagai antara pelari pecut wanita utama negara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *