PARIS – Gelombang haba luar biasa yang melanda sebahagian besar Eropah pada penghujung Jun lalu mengorbankan sekurang-kurangnya 3,700 nyawa di Perancis, Belgium dan Belanda, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap kesan perubahan iklim yang semakin ketara.

Pihak berkuasa kesihatan di ketiga-tiga negara memaklumkan angka berkenaan masih bersifat awal dan dijangka meningkat apabila proses pengesahan kematian selesai, memandangkan sebahagian kes masih dalam siasatan.

Gelombang haba yang berlaku antara 20 hingga 28 Jun itu menyaksikan suhu meningkat ke paras luar biasa di beberapa wilayah Eropah, menyebabkan gangguan bekalan tenaga, kerosakan infrastruktur serta peningkatan mendadak kemasukan pesakit ke hospital akibat strok haba dan komplikasi kesihatan berkaitan cuaca panas.

Di Perancis, seramai 2,025 individu dilaporkan meninggal dunia, dengan majoriti mangsa berusia 45 tahun ke atas. Kementerian Kesihatan negara itu turut melaporkan kematian di kediaman meningkat sebanyak 91 peratus dalam tempoh seminggu berbanding minggu sebelumnya, selain peningkatan kes di pusat jagaan warga emas dan kemudahan kesihatan.

Belgium pula merekodkan kira-kira 1,200 kematian antara 18 hingga 29 Jun, termasuk lebih 530 mangsa berusia 85 tahun ke atas, manakala 180 lagi melibatkan individu berusia di bawah 65 tahun. Pihak berkuasa menyifatkan peningkatan kematian itu sebagai situasi luar biasa yang jarang berlaku di negara berkenaan.

Di Belanda, sekitar 480 kematian dikaitkan dengan gelombang haba tersebut, dengan kebanyakan mangsa terdiri daripada warga emas berusia lebih 80 tahun yang lebih terdedah kepada cuaca panas melampau.

Saintis iklim menegaskan fenomena suhu ekstrem yang semakin kerap berlaku di Eropah mempunyai kaitan rapat dengan perubahan iklim global, sekali gus meningkatkan risiko kesihatan awam terutama kepada golongan warga emas, pesakit kronik dan individu yang tinggal bersendirian.

Susulan keadaan itu, beberapa negara Eropah memperkukuh pelan tindak balas kecemasan termasuk membuka pusat penyejukan awam, mengeluarkan amaran kesihatan serta menggesa orang ramai mengurangkan aktiviti luar bagi mengelakkan lebih banyak korban.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *