BEIJING: China mendakwa agensi perisikan asing kini menggunakan penyu, ikan dan haiwan marin lain yang dipasang sensor canggih untuk mengumpul maklumat sensitif di perairannya dalam apa yang disifatkan sebagai “perang rahsia yang tidak kelihatan” terhadap keselamatan negara.
Kementerian Keselamatan Negara China menerusi hantaran di WeChat memaklumkan beberapa haiwan marin bersaiz besar ditemui membawa peranti pengesan yang berupaya merekodkan data seperti suhu air, tahap kemasinan, arus laut dan keadaan dasar laut sebelum menghantarnya ke luar negara melalui satelit.
Menurut kementerian itu, data yang dikumpulkan dipercayai digunakan untuk menghasilkan peta bawah laut yang boleh membantu pihak asing mengenal pasti kelemahan pertahanan pantai China serta menjejaskan keselamatan ketenteraan dan ekonomi negara tersebut.
Selain haiwan marin, Beijing turut mendakwa menemui boya berteknologi tinggi, peluncur ombak berkuasa solar dan peralatan pemantauan yang dipasang pada kapal dagang bagi mengesan aktiviti pelabuhan serta pergerakan aset maritim secara masa nyata.
Bagaimanapun, pihak berkuasa China tidak menamakan mana-mana negara atau agensi yang didakwa terlibat serta tidak mengemukakan bukti terperinci berhubung dakwaan tersebut.
Susulan itu, kerajaan China menggesa nelayan, penyelidik dan pengusaha bot supaya melaporkan sebarang peranti atau objek mencurigakan yang ditemui di laut, selain memperketat pemeriksaan terhadap peralatan yang diterima dari luar negara.
Perkembangan itu berlaku ketika ketegangan geopolitik di rantau Asia-Pasifik terus meningkat, khususnya membabitkan persaingan pengaruh dan aktiviti ketenteraan di kawasan maritim strategik. Laut China Selatan dan perairan sekitar pantai timur China kekal menjadi tumpuan pelbagai negara kerana kepentingannya sebagai laluan perdagangan utama dunia serta lokasi aset pertahanan yang kritikal.
Penganalisis keselamatan berpendapat penggunaan sensor autonomi dan teknologi pemantauan marin semakin meluas dalam kalangan negara maju bagi tujuan penyelidikan saintifik, ramalan cuaca serta pengumpulan data oseanografi. Namun, teknologi yang sama turut berpotensi digunakan untuk tujuan perisikan ketenteraan, sekali gus menjadikan perairan antarabangsa medan baharu persaingan maklumat antara kuasa-kuasa besar dunia.
